Pengalaman dorong Badrol Hisham bantu pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

Pengalaman dorong Badrol Hisham bantu pesakit Covid-19

BADROL Hisham Zaki (kiri) semasa menyampaikan sumbangan ke sebuah madrasah di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pesakit Covid-19 di negeri ini terpanggil menyumbang khidmat bakti bagi membantu mereka yang dijangkiti pandemik itu.

Badrol Hisham Zaki, 52, berkata, sumbangan diberikan tidak terhad kepada barangan keperluan sahaja, bahkan turut berkongsi pengalamannya sepanjang melalui tempoh kuarantin selama dua minggu hingga disahkan sihat sepenuhnya daripada Covid-19.

Katanya, walaupun pelbagai kempen kesedaran dilakukan oleh pelbagai pihak namun masyarakat masih mempunyai stigma negatif kepada pesakit.

“Setiap kali berdepan dengan mereka yang berpandangan serong, saya cuba sebaik mungkin memberi penjelasan agar golongan itu lebih memahami dan memberi sokongan, bukannya mengeji pesakit serta keluarga.

“Saya tidak mahu pengalaman buruk yang menimpa saya sekeluarga ketika disahkan positif Covid-19 pada September tahun lalu berulang kepada orang lain hingga perniagaan bakeri isteri turut terjejas akibat stigma masyarakat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Badrol Hisham berharap, inisiatif yang dilakukannya itu dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat sepanjang hampir setahun negara bergelut dengan pandemik tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Terengganu berkata, baru-baru ini pihaknya menyampaikan sumbangan berupa barang makanan dan cecair pembasmi kuman kepada lebih 200 individu di sebuah institusi pondok yang dikuarantin.

“Hati saya tersentuh kerana dimaklumkan ramai pelajar berusia belasan tahun perlu menjalani kuarantin, perasaan dan emosi mereka pasti terganggu kerana tidak boleh melakukan aktiviti rutin seperti biasa.

“Sumbangan yang disampaikan sekurang-kurangnya dapat menceriakan mereka sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang masyarakat kepada warga institusi itu yang sedang dalam kesusahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.