MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Parlimen Bentong pastinya menjadi salah satu kerusi ‘hangat’ di Pahang.
Difahamkan, setelah MCA tewas pada PRU-14, UMNO berminat bertanding di situ pada pilihan raya umum akan datang.
Pada PRU-14, Presiden MCA waktu itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai gagal mempertahankan kerusi Parlimen Bentong yang diwakilinya selama empat penggal.

Tiong Lai memperoleh 23,684 undi, ditewaskan Wong Tack daripasa PKR (25,716 undi) manakala calon Pas, N. Balasubramaniam mendapat 5,706 undi.
Dengan kekalahan berkenaan, Tiong Lai melakar sejarah sebagai Presiden MCA pertama tewas dalam pilihan raya umum dan selepas itu beliau melepaskan jawatan disandangnya.
Kini, menjelang PRU-15, difahamkan UMNO mahu meletakkan calonnya bagi bertanding di kerusi yang secara tradisinya ditandingi MCA.
Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Adnan Yaakob yang merupakan bekas Menteri Besar Pahang antara nama cukup popular dan difahamkan menjadi pilihan UMNO Bahagian Bentong.
Ketika ini, Adnan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai di bawah Parlimen Bentong yang dimenangi selama lapan penggal.
Difahamkan, Adnan sedia melepaskan kerusi DUN Pelangai kepada muka baharu pada PRU-15 dan bertanding di Parlimen Bentong. Pas juga dikatakan bersedia memberi laluan kepada Adnan.
Persoalannya, adakah MCA akan memberi laluan kepada UMNO bertanding di Bentong? Difahamkan, MCA mahu terus bertanding di situ dan Tiong Lai dijangka membuat penampilan semula di situ.
Difahamkan, jika muka baharu ditampilkan MCA termasuk Pengerusi MCA Pahang dan Bentong, Datuk Hoh Khai Mun adalah sukar untuk parti itu menang dan memperoleh undi orang Melayu.
Jadi, mahu tidak mahu MCA difahamkan mempertaruhkan semula Tiong Lai untuk bertanding di Bentong pada PRU-15. – UTUSAN ONLINE










