Jumlah ingkar SOP kembali meningkat dengan 506 ditahan - Utusan Malaysia

Jumlah ingkar SOP kembali meningkat dengan 506 ditahan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah ditahan semalam meningkat semula berbanding kelmarin iaitu 506 individu daripada 482 atas pelbagai ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesemua mereka diberkas Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 60,840 pemeriksaan dengan meliputi pelbagai premis terdapat seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 473 dikompaun manakala 33 direman dengan kes tertinggi ialah tidak memakai pelitup muka sebanyak 112 kes.

“Diikuti premis beroperasi lebih masa (84), rentas kawasan tanpa izin (77), tiada jarak fizikal (76), gagal sedia alatan rekod butiran (66) dan lain-lain (91),” katanya menerusi kenyataan.

Sejumlah 3,048 pasukan yang meliputi 12,772 anggota semalam telah memantau 5,186 restoran, 3,684 pasar raya, 3,537 bank, 2,095 penjaja, 1,443 kilang dan 686 pejabat kerajaan.

Turut dipantau di seluruh negara ujar beliau, ialah sebanyak 932 terminal pengangkutan darat selain 239 terminal pengangkutan air dan 76 terminal pengangkutan udara.

Seramai 19 pendatang asing tanpa izin juga ditahan melalui Operasi Benteng yang meliputi pelbagai agensi bagi kekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan Covid-19.

“Sebanyak lapan kenderaan darat dirampas, manakala 959 sekatan jalan raya dibuat selain operasi itu mengesan 82 bot atau kapal asing yang berdekatan perairan negara,” jelasnya.

Ismail Sabri juga memaklumkan sejumlah 70 operasi sanitasi awam meliputi 37 zon merah, dua zon jingga, sembilan zon kuning dan satu zon hijau dilakukan di seluruh negara semalam.

Menyentuh kuarantin wajib ujarnya, semalam seramai 660 individu tiba di tanah air dengan kesemuanya telah diarahkan untuk menjalani proses itu di sejumlah 28 stesen kuarantin.

“Sejumlah 111,239 individu pulang ke negara ini sejak 24 April lalu dengan kuarantin wajib di 77 buah hotel serta 14 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut memeriksa 73 tapak binaan di seluruh negara dengan 71 mematuhi SOP manakala dua lagi tidak beroperasi.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 503 peruncit, 151 pemborong dan 29 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 1,442 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan 18 diberikan nasihat, lima dikenakan amaran dan dua lagi premis dikompaun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya