fbpx

Young Syefura disiasat kerana langgar SOP

YOUNG SYEFURA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua laporan polis diterima berhubung tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Fadzil Ahmat berkata, laporan polis diterima daripada seorang lelaki kira-kira pukul 6.50 petang tadi.

FADZIL AHMAT

Menurut Fadzil, pengadu ketika itu berada di rumah di Kampung Dato Ahmad Razali, Dengkil  dekat sini dan melihat satu Twitter yang menunjukkan seorang ADUN yang dikenali di Twitter dan Instagram dengan nama Young Syefura memuat naik gambar beliau dan rakan-rakannya sedang berkelah di tepi pantai di Bagan Lalang beramai-ramai tanpa mematuhi SOP PKPB.

“Pengadu melihat sembilan keping gambar yang baru sahaja dimuat naik dalam Instagram ADUN Ketari ini di lokasi yang berhampiran dengan Avani Sepang Goldcoast Resort yang pengadu percaya di Pantai Bagan Lalang.

“Pengadu membuat laporan polis berikutan di Selangor pada ketika ini dalam PKPB dan semua aktiviti tersebut adalah tidak dibenarkan.

“Pengadu juga mengatakan kejadian melibatkan ahli politik ini bukan kali yang pertama dan sering berulang hinggakan rakyat menjadi marah kerana tiada apa-apa tindakan diambil kepada ahli politik sedangkan apabila rakyat biasa yang melanggar SOP tindakan serta merta diambil kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Oleh demikian, Fadzil berkata, terdapat dua laporan polis yang diterima terhadap ADUN terbabit di Sepang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” ujarnya.

Terdahulu, Young Syefura atau dikenali sebagai Rara itu dituduh melanggar SOP apabila memuat naik gambar berkelah bersama empat rakannya di Avani Sepang Goldcoast Resort, yang terletak di Sungai Pelek, Selangor.

Bagaimanapun, wakil rakyat terbabit menjelaskan dia sebenarnya bermastautin di Selangor, walaupun menjadi ADUN di Pahang namun memohon maaf atas perbuatan tersebut dan bersedia disiasat. – UTUSAN