Kes babit warga asing semakin tinggi - Utusan Malaysia

Kes babit warga asing semakin tinggi

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembah Klang mencatatkan sebanyak 518 kes baharu positif Covid-19 dengan 435 kes daripadanya disumbangkan daripada kluster-kluster.

Sebanyak 206 kes daripada keseluruhan 238 kes di Kuala Lumpur adalah daripada Kluster Tapak Bina Damanlela yang kesemuanya melibatkan bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 142 kes dilaporkan di Selangor pula adalah daripada Kluster Teratai melibatkan 131 kes bukan warganegara dengan kedua-dua kluster itu merupakan kluster melibatkan tempat kerja.

Menurut beliau, sebanyak 72 daripada 162 kluster aktif dilaporkan adalah berkaitan de­ngan tempat kerja termasuk empat kluster baharu hari ini.

“Peningkatan kes mendadak di Lembah Klang akhir-akhir ini disebabkan peningkatan kes berkaitan tempat kerja berikutan ketiga-tiga negeri ini adalah pusat tumpuan warga pekerja.

“Kepadatan penduduk di negeri-negeri ini juga menjadi salah satu faktor risiko mening­katnya penularan penyakit Co­vid-19,” katanya dalam kenya­taan di sini semalam.

Noor Hisham berkata, Sabah mencatatkan sebanyak 499 kes daripada keseluruhan 1,210 kes positif baharu menjadikan jumlah kes positif di negara ini sebanyak 49,730 kes, manakala jumlah kes aktif kebolehjangkitan pula adalah 12,788 kes.

Katanya, terdapat lima kematian direkodkan selain lima lagi kluster baharu dicatatkan iaitu Kluster Avenue di Penampang, Sabah dengan kes indeks melibatkan seorang penyelia tapak pembinaan sekali gus menjadikan kes positif dikesan dalam kluster itu sebanyak 110 kes.

Selain itu, kata beliau, Kluster Kejora di Kota Kinabalu, Sabah merekodkan 19 kes manakala Kluster Kasah di Kepong, Kuala Lumpur pula dikenal pasti dari hasil saringan kumpulan beri­siko tinggi iaitu pekerja-pekerja di sebuah syarikat keselamatan melibatkan kesemua bukan warganegara.

Kluster Summer pula, jelas beliau, melibatkan Timur Laut, Pulau Pinang (11 kes) dan Kluster Mengketil di Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah, Kelantan dan Besut, Terengganu (24 kes).

“Sebanyak lima kluster diisytiharkan tamat iaitu Kluster Bangau-Bangau, Kluster Tasik, Kluster Olive, Kluster Buang Sayang dan Kluster Kau Sing.

“Sehingga kini, terdapat 105 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 40 kes memerlukan bantuan pernafasan, manakala bilangan kes pulih amat membanggakan sebanyak 1,018 kes,” katanya.

Perkembangan kes positif di negeri-negeri lain pula, kata beliau, Selangor merekodkan 259 kes, Negeri Sembilan (67 kes), Perak (47 kes), Pulau Pinang (33 kes), Kelantan (19 kes), Johor (14 kes) dan Kedah (lapan kes).

Selain itu, katanya, terdapat dua kes di Melaka dan Putrajaya selain Labuan, Sarawak dan Terengganu masing-masing mencatatkan satu kes.

“Sebanyak 172 kes berkaitan kluster-kluster di penjara melibatkan Kluster Penjara Sandakan (122 kes), Kluster Tembok (20 kes), Kluster Penjara Kepayan (16 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (14 kes),” katanya.

Mengulas lanjut, Noor His­ham berkata, terdapat beberapa faktor penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja misalnya isu tempat penginapan, kebersihan kendiri dan juga persekitaran tempat tinggal serta tempat kerja.

Jelasnya, isu penularan Co­vid-19 dalam kalangan pekerja bukan warganegara merupakan isu penting yang perlu ditangani, justeru pihak majikan diseru memainkan peranan lebih besar dalam sama-sama menangani­nya termasuk menyediakan penginapan kondusif untuk memastikan penjarakan fizikal selamat dapat diamalkan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya