“Pak cik ada buat tuntutan insurans kereta pada tahun ini?” Tanya wanita bertudung yang sedang menatap komputer.
“Tak ada. Kenapa?” Jawab Roslan dengan wajah terkejut.
“NCB pak cik dah kosong. Kereta pak cik ada terlibat dengan kemalangan tahun ini?” Beritahu wanita itu dan mengemukakan pertanyaan lagi.
“Kosong? Memang kereta pak cik ada terlibat dengan kemalangan. Kereta pak cik dilanggar oleh sebuah motosikal. Anak pak cik yang memandu kereta pak cik ketika itu. Tapi pak cik tidak buat tuntutan insurans,” ujar Roslan dengan wajah tidak puas hati.
“Pak cik tunggu sekejap. Saya hendak hubungi pihak insurans bertanya siapa yang membuat tuntutan insurans ini. Pak cik tunggu di luar. Nanti saya panggil,” Kata wanita itu sambil matanya memandang komputer dan tangannya mencatat sesuatu pada kertas.
Roslan bangun menuju ke meja menunggu di luar bilik. Dia duduk di kerusi yang diletakkan di sisi meja. Fikirannya dipenuhi dengan pelbagai pertanyaan. Bagaimana lelaki penunggang motosikal itu boleh membuat tuntutan insurans menggunakan insuranskeretanya? Sedangkan anak lelakinya memberitahu anggota polis tidak mengeluarkan saman pada kedua-dua mangsa kemalangan.
Siapakah yang meluluskan tuntutan insurans lelaki penunggang motosikal itu? Pertanyaan itu berlegar-legar di dalam kepala Roslan.
Suara wanita bertudung itu memanggil Roslan masuk ke dalam bilik. Dia melangkah dengan benaknya berlegar-legar pelbagai pertanyaan.
“Pak cik, tuntutan insurans kereta pak cik telah dibuat oleh motosikal yang langgar kereta pak cik,” Beritahu wanita bertudung itu sambil tangannya menghulur sehelai kertas kepada Roslan. Wajah Roslan nampak terkejut.
“Budak lelaki yang melanggar kereta pak cik itu tidak ada pun memberitahu pak cik yang dia akan membuat tuntutan insurans. Lagi satu, macam mana budak lelaki itu boleh membuat tuntutan insurans sedangkan pihak polis tidak membuat sebarang keputusan siapa yang bersalah. Lebih menghairankan, pihak insurans pun tidak menghubungi pak cik tentang tuntutan yang dibuat oleh budak lelaki itu,” Ujar Roslan dengan panjang lebar.
“Begini pak cik. Jika kereta langgar motosikal, kereta tidak boleh buat tuntutan insurans motosikal. Sebaliknya, motosikal boleh buat tuntutan insurans kereta, walaupun motosikal bersalah. Dan motosikal boleh membuat tuntutan insurans tanpa memberitahu pak cik” Jelas wanita bertudung itu.
Roslan terkedu mendengarnya. Dia tidak sangka jumlah insurans keretanya menjadi mahal semula gara-gara tindakan budak lelaki yang melanggar keretanya.
Malah bayaran membaiki kerosakan keretanya yang rosak teruk adalah dibayar sendiri olehnya. Anak lelakinya memberitahu bahawa budak lelaki yang melanggar keretanya tidak memberi kerjasama sewaktu membuat laporan polis dan tidak berkomunikasi langsung dengan anaknya.
“Macam mana, pak cik? Nak perbaharui insuran ke tidak? Atau pak cik nak jumpa pihak polis?” Tanya wanita bertudung itu.
“Pak cik kena perbaharui insurans kereta ini sebab anak bongsu pak cik guna kereta ini pergi bekerja. Jika pak cik tidak perbaharui, road tax kereta ini mati. Nanti anak pak cik kena saman dengan polis atau JPJ. Jika jumpa polis, belum tentu ada penyelesaiannya” Jawab Roslan menerangkan situasi sebenar.
“Begini pak cik. Lepas pak cik perbaharui insurans dan road tax , pak cik boleh buat tuntutan insurans ini dengan kami. Tapi pak cik kena dapatkan laporan lengkap kemalangan daripada balai polis tempat anak pak cik membuat laporan kemalangan. Tuntutan insurans ini pak cik boleh buat selagi insuran kereta tidak tamat tempohnya,” kata wanita bertudung itu dengan nada memujuk.
“Tapi laporan kemalangan ini di negeri lain. Jauh pula tu. Entah bila pak cik dapat pergi, tak pastilah” Nada Roslan seakan merajuk.
“Tak apa, pak cik. Masih banyak masa lagi. Saya akan bantu pak cik membuat tuntutan insurans ini setelah pak cik memperoleh laporan lengkap kemalangan.” Pujuk wanita bertudung itu lagi.
Roslan menarik nafas ketika membuat bayaran insurans menggunakan kad debit. Dia tidak menyangka untuk tahun ini dia terpaksa membayar harga insurans kereta dengan jumlah yang mahal seolah-olah dia membeli sebuah kereta baharu.
Setelah hampir tiga bulan, Roslan masih belum dapat pergi ke IPD Trafik mengambil laporan kemalangan keretanya. Negeri tempat berlakunya kemalangan memang jauh dan dia merasakan cukup liat hendak ke negeri itu.
Sehinggalah suatu hari Roslan tidak menduga mendapat jemputan majlis kahwin di negeri berlakunya kemalangan keretanya dilanggar oleh sebuah motosikal.
Dia berasa sangat teruja hendak pergi ke jemputan majlis kahwin itu kerana dia merancang akan pergi ke IPD Trafik untuk mendapatkan laporan lengkap kemalangan.
Maka sepurnama kemudian pada hari majlis jemputan kahwin, Roslan dan isterinya bertolak ke negeri tersebut pada pukul 9 pagi dengan memandu kereta yang telah berusia hampir 23 tahun. Lokasi majlis perkahwinan itu terletak di sebuah daerah bernama Felda. Roslan dan isterinya tidak pernah sampai ke daerah Felda tersebut.
Hampir pukul 11 pagi, Roslan keluar dari lebuh raya setelah membayar tol. Isterinya segera membuka peta lokasi di telefon bimbitnya. Isterinya memberitahu jarak felda itu lebih kurang setengah jam. Roslan terus memandu mengikut arahan peta lokasi.
Sewaktu tiba di Felda itu, Roslan dan isteri terpegun melihat kecantikan rumah-rumah yang dicat dengan pelbagai warna. Lanskap di persekitaran felda dipenuhi dengan pokok-pokok menghijau dan pelbagai jenis bunga yang ditanam oleh pemilik rumah.
Berdasarkan peta lokasi di kad jemputan, majlis perkahwinan diadakan di Dewan Orang Ramai felda. Beberapa minit kemudian Roslan dan isterinya sampai di dewan yang sudah dipenuhi oleh para jemputan.
Roslan dan isteri terus menuju ke pintu masuk dewan di mana ibu bapa pengantin menunggu para tetamu datang. Mereka berasa teruja melihat Roslan dan isterinya datang dari jauh. Mulutnya berkali-kali mengucapkan terima kasih.
Kemudian Roslan dan isterinya beratur mengambil hidangan makanan. Di samping nasi dan lauk-lauk, turut disediakan menu seperti kuih-muih, cendol, apam balik, laksa dan air teh panas.
Setelah selesai menikmati hidangan makanan, Roslan dan isteri segera meninggalkan majlis. Dia ingin pergi mencari IPD Trafik yang anak lelakinya membuat laporan kemalangan keretanya dilanggar oleh sebuah motosikal.
Sebaik sahaja masuk di dalam kereta, isteri Roslan mencari peta lokasi di telefon bimbit. Masa untuk sampai ke IPD Trafik dalam masa satu jam. Dia memulakan pemanduan mengikut arahan peta lokasi.
Lebih kurang satu jam memandu, Roslan sampai di IPD Trafik tersebut. Roslan dan isterinya masuk ke bangunan itu. Di kaunter pelanggan, dia dilayan oleh seorang anggota lelaki. Roslan menerangkan tujuan kedatangannya.
“Tapi pak cik, laporan lengkap kemalangan ini hanya boleh dikeluarkan pada waktu hari bekerja sahaja. Hari ini Sabtu,” jelas anggota lelaki itu.
“Saya datang dari jauh ni. Bukannya dekat nak datang sini,” Ujar Roslan dengan wajah kehampaan.
“Begini pakcik. Pak cik jumpa pegawai yang bertanggungjawab terhadap kes ini. Mungkin dia boleh mengeluarkan laporan. Biliknya di belakang. Pak cik ikut lorong ini,” Kata anggota lelaki itu.
Roslan akur dengan cadangan itu. Dia menuju ke bilik pegawai yang terletak di belakang. Pintu bilik itu terbuka. Seorang anggota wanita sedang berurusan dengan seorang lelaki.
“Pak cik tunggu di luar sebentar,” ujar anggota wanita itu.
Roslan duduk di kerusi yang disediakan. Lama juga Roslan menunggu. Dia bangun sebaik sahaja lelaki tadi keluar dari bilik. Roslan masuk dan duduk di hadapan anggota wanita itu. Dia menerangkan tujuan kedatangannya dan memberikan laporan kemalangan yang dibuat oleh anak lelakinya.
“Pak cik, laporan lengkap kemalangan hanya boleh dikeluarkan pada waktu hari bekerja sahaja,” kata anggota wanita itu.
“Saya datang dari jauh ni. Bukannya dekat,” tambah Roslan.
“Saya bagi nombor telefon bahagian yang mengeluarkan laporan lengkap. Pak cik telefon nombor ini. Mereka boleh poskan laporan lengkap itu kepada pak cik,” tokok anggota wanita itu.
“Pak cik nak tanya. Kenapa anak pak cik dan budak lelaki yang langgar kereta pak cik itu tidak dikenakan saman? Macam ada yang tidak kena?” Roslan mengajukan soalan yang sudah lama disimpan.
“Pak cik, saya tidak boleh saman sebab tidak ada bukti. Lampu isyarat pun tidak pasti yang mana berwarna hijau. Jika ada dashcam, senang saya nak saman” Jawab anggota wanita itu.
Wajah Roslan berkerut. Secara logiknya keretanya teruk dilanggar oleh motosikal itu. Sudah tentulah budak lelaki yang menunggang motosikal itu memecut dalam keadaan laju.
“Jika pak cik tidak berpuas hati, pak cik boleh bawa perkara ini ke mahkamah,” tokok anggota wanita itu.
Roslan meninggalkan bilik anggota wanita itu dengan seribu tanda tanya.
Keesokannya, Roslan menelefon nombor yang diberi oleh anggota wanita itu. Berkali- kali dia menelefon tetapi tiada siapa pun yang menjawab. Atas pertolongan anak sulungnya, Roslan memperoleh satu nombor telefon dari IPD Trafik yang sama. Apabila dia menelefon, seorang anggota lelaki memberi jawapan yang memeranjatkannya.
“Pak cik boleh dapatkan laporan lengkap kemalangan itu di IPD Trafik di tempat tinggal pak cik.”
Tanpa melengahkan masa, Roslan ditemani anak sulungnya pergi ke IPD Trafik di tempat tinggalnya yang jarak dari rumahnya lebih kurang setengah jam.
Di kaunter pelanggan, Roslan memberi laporan yang telah dibuat oleh anak lelakinya dan beberapa keping gambar keadaan keretanya setelah dilanggar.
Setelah mencetak laporan lengkap kemalangan, anggota lelaki itu menyemak laporan itu. Ketika menghulurkan laporan lengkap kemalangan, anggota lelaki itu bersuara.
“Macam ada yang tidak kena dengan laporan kemalangan ini.”
Roslan dan anak sulungnya meninggalkan IPD Trafik dengan pelbagai persoalan. Sebelum keretanya bergerak, Roslan menatap dan membaca laporan lengkap kemalangan. Dia amat terkejut dengan laporan kemalangan yang telah dibuat oleh budak lelaki yang melanggar keretanya.
Dalam laporan, budak lelaki itu memberitahu pihak IPD Trafik bahawa kereta telah melanggar bahagian belakang motosikalnya dan menyebabkan budak lelaki itu jatuh terbabas.
Roslan terkedu. Siapa pula yang melanggar keretanya di kedua-dua pintu di sebelah pemandu serta patah cermin sisi dan pecah lampu kecil?
Kedua-dua pintu keretanya teruk disagat oleh motosikal yang sudah pasti menunggang dalam keadaan laju sewaktu menghentam kereta. Itulah situasi sebenar yang berlaku seperti yang diceritakan oleh anak lelakinya yang terlibat dengan kemalangan itu.
Adakah laporan lengkap kemalangan ini berlaku pemuafakatan?
Tiba-tiba Roslan teringat seseorang yang sering bercakap tentang integriti dan tata kelola dalam urusan kehidupan.
Roslan menggeleng-gelengkan kepala sambil beristiqfar. Adakah dia reda dan inikah yang dikatakan ketentuan takdir? – UTUSAN









