Hati yang terluka

Hati yang terluka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Tak ada guna kita berbincang dan buat andaian tak tentu pasal ni, Senah. Cuba awak telefon Juriah. Tanyakan khabar Murad dan Ijah tu. Dapat juga kita tahu hal sebenarnya yang berlaku lebih jelas,” ujar Suman.

Memang Suman dan Senah telah terputus hubungan dengan Murad dan Ijah sejak beberapa tahun lalu. Berkali-kali Senah cuba menghubungi telefon bimbit Murad dan Ijah. Tetapi panggilannya itu dimasukkan ke dalam peti suara telefon masing-masing.

Mereka tidak bercadang ke rumah Murad dan Ijah kerana berasa bimbang mereka sudah pun berpindah ke rumah lain. Mereka juga bertekad tidak mahu ‘mengemis’ kasih sayang anak-anak.

Tapi, dalam tempoh lima tahun itu fikiran Senah berbolak-balik. Begitu juga dengan pandangan Suman. Apa yang berlaku ke atas Murad dan Ijah tidak boleh dibiarkan berlalu sahaja.

Senah terdiam sejenak memikirkan apa suaminya ucapkan itu. Senah mendapati cadangan daripada suaminya itu ada bernasnya. Dengan gesit Senah mengambil telefon bimbitnya.

“Saya telefon Juriah sekarang ya?” ujar Senah.

“Tunggu apa lagi? Telefonlah,” desak Suman.

Senah menghubungi Juriah dan memulakan perbualannya bertanyakan khabar tentang Murad dan Ijah. Rasa rindu Suman dan Senah berbekam lama dalam sanubari masing-masing setelah hampir lima tahun mereka anak beranak tidak bersua muka.

Dalam hati Suman dan Senah terus menyangka perkara bukan-bukan. Mungkin Murad dan Ijah ada pulang ke rumah Juriah. Juriah besannya. Mungkinkah Juriah telah mengenakan ubat guna-guna ke atas Murad sehinggakan Murad tidak melupakan ayah dan ibunya?

Senah yang sedang memegang telefon bimbitnya menyambut panggilan daripada Juriah. Setelah bertanya khabar, Senah terus menjurus kepada tajuk perbincangan dengan suaminya sebentar tadi.

“Pasal Murad dan Ijah. Murad dan Ijah ada pulang. Mereka pulang bawa anak-anak mereka sekali,” ujar Juriah.

“Untunglah kau Juriah. Mereka pulang ke rumah kau. Rumah aku tidak,” balas Senah dalam nada yang rajuk.

Pertanyaan yang ditimbulkan Senah mendatangkan tanda tanya pada Juriah.

“Kenapa Senah? Ada apa-apa tidak kena tentang mereka ke?” Soal Juriah.

Senah tidak menjawab pertanyaan Juriah. Ada sesuatu yang mengganggu perasaannya. Senah cuba memujuk hatinya yang terluka itu. Senah cuba menahan sebak di dadanya. Rasa sedih atas perbuatan Murad telah lama menusuk sanubarinya.

“Rasa sedih juga kerana sudah lima tahun Murad dan Ijah tidak pulang ke rumah aku. Dah lima tahun juga aku tak jumpa cucu-cucu aku tu. Dah besar panjang agaknya cucu-cucu aku,” ujar Senah.

“Iya ke? Aku tak tahu pun, Senah,” balas Juriah.

Sebelum Juriah bertanya lebih lanjut, Senah mematikan talian telefon bimbitnya. Suman yang berada di sisi Senah tadi termenung ke luar jendela. “Apa yang awak menungkan tu?” Soal Senah.

Suman yang sedang menongkat dahunya di jendela sambil menghisap rokok daun tembakau Cina mencampakkan puntung rokok itu ke tanah.

“Aku dah lama agak dah Senah. Murad dan Ijah pulang ke rumah Juriah tu. Mesti ada sesuatu melukakan perasaan Murad. Kalau bukan Murad tentunya ada perasaan yang terluka di hati Ijah,” ujar Suman sambil mengeluh.

Senah berwajah muram. Suman mengeluarkan rokok daun tembakau Cina dari saku seluarnya. Tembakau Cina itu digulung ke dalam rokok daun itu. Muncung rokok daun itu dinyalakan. Asap keluar dari lubang hidungnya berterbangan menjurus keluar jendela terbuka. Jari-jemari Senah mengipas-ngipas bagi mengelakkan hidungnya terhidu rokok daun itu.

Senah dapat merasakan perubahan Murad setelah pulang bercuti selama empat hari di rumahnya. Sudah beberapa kali Murad bercadang membeli sebuah rumah teres dua tingkat bagi menggantikan rumah teres yang didiami mereka.

Sebenarnya fikiran dan perasaan Murad dan Ijah ‘semak’ melihatkan anak-anak Sidek tanpa segan silu keluar masuk ke dalam bilik mereka. Murad hairan kenapa Sidek tidak menegur sikap anak-anaknya yang nakal keluar masuk bilik sesuka hati.

Murad semakin marah apabila anak-anak Sidek menerjah masuk sewaktu Ijah sedang berkemban dan keluar dari bilik air. Sikap anak-anak Sidek iaitu Hussain dan Maarof yang usia hampir sebaya dengan anak-anaknya dianggap biadab. Mereka juga berani mengguna telefon Ijah untuk tujuan ‘games’ tanpa pengetahuan Ijah. Suasana dalam rumah seperti ‘tongkang pecah’ dengan alat permainan kanak-kanak bersepah-sepah. Memang suasana yang sebegini amat merimaskan Murad.

“Kita carikan rumah yang lebih besarlah untuk ayah dan mak,” ujar Murad.
“Apa-apa pun kita jangan sesekali membelakangkan ayah dan emak kita. Berdosa kita. Eloklah kita bincang dengan mereka secara baik. Kita dah lama bercadang mendapat rumah lebih besar untuk mereka,” ujar Ijah.

Murad dan Ijah cuba menyembunyikan perasaan tidak selesa dengan perangai anak-anak Sidek dan Nisah.

“Tujuan saya mahukan ayah dan emak tinggal lebih selesa. Saya hendak belikan sebuah rumah teres dua tingkat untuk ayah dan emak tinggal,” terang Murad.

“Kita hendak rasa selesa bila pulang bawa anak-anak mak,” tingkah Ijah.

Suman dan Senah termenung sejenak. Dulu Murad dan Ijah tidak begini. Sebelum Sidek dan Nisah berpindah ke rumah mereka, suasananya aman dan damai.
“Mak lebih selesa tinggal di rumah ini Murad. Buat apalah berhutang lagi, nak tinggal di rumah lebih besar. Lagi pun ayah dan emak sudah tua. Buat apalah lagi rumah yang lagi besar itu,” terang Senah.

“Mak pun rasa tak sunyi lagi dengan adanya cucu-cucu mak yang tinggal sama mak,” tambah Senah. Dua anak perempuan Murad iaitu Alyaa Khalisa dan Ifti Akasya berusia 12 tahun dan 10 tahun. Murad merasakan anak-anak perempuannya itu memerlukan bilik berasingan. Rumah teres didiami Senah hanya mempunyai tiga bilik.

Sejak berhenti kerja, Sidek membawa dua anak lelaki dan isterinya tinggal di rumah Senah. Sidek bekerja di pam minyak berdekatan rumah bagi menyara keluarganya.
Keadaan bertambah buruk apabila Nisah menjadi ibu tunggal setelah Mamat berkahwin dengan bekas kekasihnya tinggal dengan Senah. Nisah bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan di Putrajaya.

Nisah mempunyai dua anak iaitu Syidah dan Yati dan masing-masing berusia 8 tahun dan 6 tahun. Setiap pagi Suman dan Senah menghantar cucu-cucu mereka yang berempat itu ke sekolah kebangsaan dan tadika yang terletak di Ampangan itu.

Dua

Murad dan Ijah membawa pulang anak-anak mereka. Dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Cheras itu, mereka melahirkan rasa tidak senang hati tinggal di rumah Senah dan Suman.

“Cuba tengok sikap Sidek dan Nisah langsung tidak keluar belanja. Kita yang bawa emak ke pasar membeli bahan-bahan basah untuk di masak. Mereka ada hulurkan wang belanja? Tahu makan sahaja. Selepas makan hanya pandai ucap terima kasih,” ujar Murad.

“Ijah tidak nampak pun mereka hulur apa-apa pada mak,” jawab Ijah.

“Abang kasihankan ayah dan emak tu. Sepatutnya bila sudah tua emak tidak jadi bibik memasak untuk anak-anak. Tapi apa yang terjadi di depan mata kita? Julia dan Nisah duduk dalam bilik. Sidek tu langsung tak suruh isterinya Julia tolong mak masak. Hanya Ijah yang tolong mak masak dan hidangkan makan atas meja makan. Sakit hati abang pandang sikap mereka tu,” terang Murad.

Murad dan Ijah mengambil keputusan pulang ke rumah mentua mereka yang terletak di Merlimau itu. Juriah dan suaminya Kasim hanya tinggal berdua di rumah teres dua tingkat. Kedua-dua mereka adalah pesara kerajaan.

“Abang lebih selesa di sini berbanding di rumah emak abang,” getus Murad ketika pulang bercuti di rumah Juriah.

Rumah teres dua tingkat itu mempunyai lima bilik. Juriah telah menyediakan dua bilik untuk Murad dan Ijah. Satu bilik kelamin untuk Murad dan Ijah. Sebuah bilik lagi disediakan untuk anak mereka Alyaa Khalisa dan Ifti Akasya. Juriah juga telah mengambil khidmat pencuci rumah sebulan sekali bagi menentukan rumahnya dalam keadaan selesa dan bersih.

Tiga

Hujung minggu itu Murad dan Ijah menikmati sarapan pagi di restoran Nura Cafe Tiga Beradik. Murad memesan capati kambing. Ijah memesan nasi lemak sotong manakala Alya Khalisa dan Ifti

Akasya berkongsi nasi goreng Cina yang tiada sayur dan ayam. Mereka turut memesan minuman untuk mereka dan Alyaa Khalisa dan Ifti Akasya.

Selepas menikmati sarapan Murad ingin menyampaikan sesuatu kepada Ijah. Perkara ini telah lama terpendam di lubuk hatinya.
“Sejak dua menjak ni, abang selalu mimpikan ayah dan emak di kampung tu. sudah hampir lima tahun kita tidak menjenguk mereka Ijah,” ujar Murad.

“Betullah tu bang. Hampir lima tahun kita tak jenguk mereka. Entah apa khabar mereka dengan cucu-cucunya tu. Apakah Sidek dan Nisah masih tinggal rumah ayah dan kita sendiri pun tak tahu? Sebagai ahli keluarga yang terdekat kita sepatutnya mengambil tahu hal mereka bang,” pujuk Ijah lembut.

“Abang rasa minggu depan abang nak ambil cuti sehari dua pulang ke kampung ziarah ayah dan emak. Bagaimana dengan Ijah? Setuju? ” Soal Murad.

“Ijah tak kisah. Ijah ikut saja cadangan abang,” jawab Ijah.

“Tapi kita tidak terus ke rumah mak. Kita menginap di hotel. Dari hotel itu kita ke rumah mak,” ujar Murad. Ijah terdiam sejenak.

“Betulkah cara kita ni bang?” Soal Ijah yang berasa ragu dengan cadangan dari suaminya itu. Murad hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

Sebelum pulang Murad telah memesan hotel yang terletak di pusat bandar dan tidak jauh dari rumah Senah. Murad membantu Ijah mengemaskan pakaian dan memasukkannya ke dalam beg.

Dalam perjalanan ke hotel itu Murad menerangkan keputusan untuk menginap di hotel itu kepada Ijah.

“Tinggal di hotel lebih privasi sifatnya. Hanya kita anak beranak kalau mahu dibandingkan di rumah ayah dan emak,” ujar Murad.

Setelah Murad dan Ijah mendaftar masuk mereka membuat kejutan dengan menziarahi rumah Suman dan Senah.

“Assalamualaikum…Assalamualaikum,” ujar Murad. Salam dari Murad disambut oleh Suman dan Senah dari dalam rumah.

“Waalaikumussalam,” balas Suman dan Senah serentak.

“Egh, Murad…Ijah,” ujar Senah. Alyaa Khalisa dan Ifti Akasya bersalaman dengan Suman dan Senah.

“Kenapa rumah ini sunyi mak?” Soal Murad.

“Sidek dan Julia dah keluar dari rumah ini. Nisah pun sama keluar membawa anak mereka dan mencari rumah sewa,” jelas Senah.

“Kenapa boleh jadi macam tu mak?” Soal Murad.

“Kami sudah letih menanggung biawak hidup dalam rumah kami. Eloklah mereka keluar dari rumah ini,” sampuk Suman dengan muka bersahaja sambil mengepit rokok daun tembakau Cina di bibirnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN