Fikiran Simah menerawang jauh. Senyum bersimpul di bibir. Dia dapat bayangkan betapa meriahnya perkahwinan anak bongsunya itu nanti. Maklumlah ini mungkin kenduri kahwin terakhir dalam hidup dia dan suaminya.
Sebab itulah dia beria-ia benar mahu sediakan yang terbaik. Biarlah dia sekeluarga berhabisan sikit kali ini.
“Sudah-sudahlah tu Mah, kita bukannya tidak biasa berkenduri besar pun. Masa si Aliya dan Azim kahwin dulu pun, bukan kecil perbelanjaan kita!” Ujar Sufian membantah.
Dia tahu benar sikap isterinya itu. Rancangan awal memang bersederhana, tetapi apabila hampir menjelang harinya, segala bajet mula lari dari anggaran yang dibuat.
“Alah abang ini, kedekut sangat. Fiza tu anak bongsu kita bang. Abang keluar separuh, saya keluar separuh!” Pujuk Simah.
“Pandailah awak tu. Fiza sendiri?”
“Eh abang ini, Fiza tu kan perempuan bang. Kitalah yang bertanggungjawab untuk masa depan dia tu.” Balas Simah cepat-cepat.
“Itu saya tahu. Kan dia sudah kerja.”
“Kerja apa sangatlah bang, operator kilang saja. Lagi pun masa inilah kita hendak perkenalkan keluarga kita bang. Biar Pak Saad dan Kak Bedah di kampung itu tahu, kita ini berbeza status dengan dia orang!”
“Awak ini Simah, tidak habis-habis, hendak berada di saf depan saja!” Ngomel Sufian sambil menjeling sinis ke arah isterinya itu.
Dua bulan akan datang, syarikat kosmetik tempat dia bekerja akan memberikan durian runtuh kepada seluruh kakitangan.
Dia sudah berkira-kira lantaran bonus yang bakal diterimanya agak ‘lebat’ juga, sesuai benar dengan jawatan eksekutif yang disandangnya sejak lapan tahun lalu. Campur dengan bajet suaminya nanti, kira memadai untuk belanja keseluruhan!
Namun, sesekali dia rasa sedih juga. Terkilan pun ada. Bila sudah habis berbelanja besar. Anak menantu hilang daripada mata.
Aliya anak sulungnya, sudah menetap di Brunei mengikut suami. Azim dan isterinya pula walaupun menetap di Kuantan, bukannya selalu balik. Sibuk dengan firma guaman yang mula berkembang.
Cuma Fiza yang agak kerap dapat bersamanya, anak bongsunya itu sejak umur 15 tahun tinggal di kampung bersama datuknya, Pak Mahat.
Simah bukannya malas untuk menjaga Fiza, tetapi sewaktu Fiza berada di Tingkatan Empat, macam-macam kes jenayah yang berlaku di sana-sini. Murid-murid sekolah terutama murid perempuan banyak yang jadi mangsa kes rogol, cabul, culik dan ugut serta tidak kurang pembunuhan.
Simah terlalu bimbangkan Fiza. Dia berpakat dengan Sufian untuk menghantar Fiza tinggal bersama datuknya di kampung.
Simah dan Sufian merasa lebih selamat jika Fiza sambung persekolahan di kampung. Dua minggu sekali mereka balik ke kampung mengambil Fiza. Tetapi sewaktu Fiza di Tingkatan Lima, mereka hanya sempat balik hanya sebulan sekali memandangkan kesibukan kerja yang membatasi peluang dia dan suaminya untuk bercuti. Ada waktunya Fiza akan balik sendirian menggunakan bas atau teksi.
“Abang, saya bercadang hendak raikan ayah dalam satu majlis khas. Saya hendak berikan sesuatu sebagai tanda terima kasih kita pada dia kerana jaga Fiza selama beberapa tahun ini, macam mana, abang setuju tak?”
“Suka hati awaklah Mah, dia kan ayah awak.” Balas Sufian.
“Abang ini macam tidak suka saja. Ayah itu sudah banyak berkorban untuk kita.” Tingkah Simah.
“Bila pula abang kata tidak suka. Eloklah kalau awak sudah rancang macam itu…”
Tinggal beberapa bulan saja lagi Fiza bakal dijodohkan dengan Faris, anak Pak Sad dan Kak Bedah yang sudah dua tahun mengggotai pasukan tentera darat.
Simah hanya menghitung hari. Sufian pula macam lazimnya, tidak difikirkan sangat hal tersebut kerana masalah syarikat binaannya adalah yang teratas.
“Kamu ni Fiza, mama tengok macam tak ceria saja, apa hal ini?” Tanya Simah.
“Eh! Mak ini, takkanlah Fiza hendak tersengih-sengih dan melompat-lompat pula!”
“Bukanlah macam itu, tetapi kamu ni tidak macam orang lain. Kamu kan dan kenal dengan si Faris tu…”
“Kenal itu kenal mak, tetapi sebelum ini Fiza memang tidak pernah jumpa dan bercakap pun dengan dia!”
“Alah, kamu terima sajalah Faris tu. Lagipun maknya tu masih ada hubungan saudara dengan keluarga belah mama kat kampung. Dia yang beria-ia benar tanyakan Fiza dari atuk.” Ujar Simah sambil mengelus-ngelus rambut Fiza yang ikal.
“Fiza tidak kisah mama. Fiza pun memang sudah lama hendak berhenti kerja, Fiza mahu berdikari, mahu tinggal sendiri. Kalau sudah sampai masa untuk berkeluarga, Fiza tidak kisah!” Ujar Fiza, matanya merenung dalam anak mata Simah.
“Nanti, mama hendak Fiza berikan hadiah istimewa untuk atuk yang selama ini menjaga Fiza di kampung!”
Fiza mengukir senyum hambar. Seketika kemudian dan menghampiri Simah lalu memeluk tubuh mamanya itu.
Petang Sabtu minggu ketiga. Simah dan Sufian berjalan keluar dari kedai emas. Menempah tiga jenis barang kemas untuk perhiasan badan anak perempuan bongsu mereka pada hari perkahwinannya nanti.
Simah hanya senyum memanjang. Sufian bagaikan pengawal peribadi, mengikut saja ke mana Simah hendak pergi.
“Abang ini bimbang juga Mah…”
“Bimbang pasal apa pula bang?” Simah menduga.
“Dalam masa terdekat ini sudah berapa kali dia orang berjumpa. Yelah nak kenal hati budi masing-masing.”
“Anak kita budak baik bang. Saya yakin si Faris tu takkan ada masalah nanti!”
Sufian terus diam. Dia harap kenyataan isterinya itu adalah yang terbaik untuk Fiza dan keluarga yang bakal dibina.
Untuk terima bakal menantu kali ini, Simah agak tenang dan tidak banyak soal selidik. Tidak seperti kepada dua menantunya yang lepas.
Mungkin juga sebab Fiza tidak ada kelulusan tinggi dan hanya pekerja kilang. Sekali ayahnya mencadangkan si Faris anak Encik Saad dan Kak Bedah, langsung saja dia menerimanya.
Tinggal tiga minggu lagi Fiza bakal bergelar raja sehari. Pagi itu, Fiza meminta izin untuk balik ke kampung. Dia membawa surat berhenti kerja untuk diserahkan kepada pengurus kilang di pekan.
“Nanti petang beritahu atuk, Fiza hendak balik ke sini. Esok mama dan bawa Fiza ke bandar. Kita kena belikan apa-apa barang yang masih tak ada.”
Fiza hanya memandang tepat ke arah Simah tanpa suara, tetapi mengangguk perlahan-lahan kemudiannya.
Terdetik juga dalam hati Simah. Apa kena pula dengan anaknya itu? Perangai tiba-tiba saja berubah. Mukanya kusam dan pucat. Tak ada seri langsung seorang bakal pengatin.
Ah!, Perkara biasalah itu, pujuk hati Simah. Barang kali demam dara hendak naik pelamin. Sudah sampai harinya nanti pastinya badan yang lemah kembali kebah!
Kalau Fiza tidak mahu menerima Faris, takkanlah dia diam saja masa dilamar tempoh hari? Orang yang diam, tandanya setuju. Simah pun faham, jiwa anak bongsunya itu. Dia memang mudah lemah semangat. Tambah-tambah soal berat macam ini. Barangkali dia bimbang takut tidak mampu menjadi isteri yang baik untuk bakal suaminya nanti, fikir Simah lagi.
Petang itu senyum Simah melebar sewaktu membelek-belek tiga kotak kad jemputan yang tiba di rumahnya. Kad itu ditempah khas dalam versi istimewa tiga warna. Dengan keharuman mawar bersama alunan muzik.
Semua saudara mara terdekat sudah dihubunginya. Kad sudah separuh diserahkan. Teman-teman yang jauh dan tidak sempat diziarah dihubungi dengan kemudahan teknologi. Telefon, faksimili dan emel.
Simah mengambil cuti dua minggu lebih awal bagi melangsaikan apa yang patut. Dia tidak suka meminta bantuan orang lain. Bimbang tidak dapat memuaskan hatinya.
Encik Saad dan Kak Bedah pasti terbeliak biji mata melihat persediaan yang dibuatnya. Dia tak kisah majlis yang bakal dibuat pihak lelaki. Yang penting di pihaknya, dia tidak tidak akan jatuh saham.
Enam hari sebelum tiba hari yang ditunggu, dia menerima panggilan telefon dari Kak Bedah. Bagai dipanah petir jantan, tiba-tiba nafas menjadi sesak. Sufian cuba menenangkan isterinya yang mula tersesak-esak.
“Bawa bersabar Mah…”
“Hendak bersabar apa bang. segala persiapan dan saya buat. Senang-senang pula mereka hendak putuskan…”
“Kan mereka sudah jelaskan!”
“Saya tidak puas hati bang…”
Petang itu Simah dengan dada kosong dan perasaan yang murung bertolak ke kampung. Hati Simah berkecamuk. Gelodak dalam dadanya kian membengkak. Hatinya sedang membusung dengan rasa marah, kecewa, hampa, sedih dan hiba.
Sampai tiba di rumah Tok Mahat, ada dua tiga orang kampung sedang mundar-mandir di beranda. Salah seorang daripada mereka menghampiri Sufian lalu membisikkan sesuatu.
“Betul ke ini?” Tanya Sufian, terkejut. Mereka hanya mengangguk.
Simah faham benar panas baran ayahnya itu.
“Aku akan bunuh budak bedebah tu kalau dia tidak jadi juga kahwini Fiza!” Mata Tok Mahat merah menyala. Mukanya seperti udang kena bakar.
“Banyak-banyak sabar ayah. Saya faham perasaan ayah itu. Kami berdua ini lagi malu ayah. Kami ini ayah dan mak dia!”
“Aku tidak mahu Fiza jadi sepah yang kena buang!”
Simah dan Sufian saling berpandangan.
“Ayah tentu malu sangat tu bang, dia yang beria-ia benar dan jodohkan Fiza dengan Faris tu hah!”
“Malu sekalipun, kita kena berbincang, tidak boleh ambil tindakan melulu. Ini sampai hendak berparang pula!”
Simah diam. Hatinya kian diamuk resah. Sudahlah dalam keadaan menjadi haru-biru, Fiza anak perempuannya pula keluar dari rumah Tok Mahat selama dua hari dan tidak balik-balik.
“Akak minta maaf banyak-banyak Simah, Sufian. Akak tidak dapat buat apa-apa. Ini keputusan abang Saad dan Faris sendiri. Maknanya ia sudah jadi keputusan kami sekeluarga…”
“Tapi… tapi kenapa Kak Bedah? Malu saya macam ini. Anak-anak kita macam mana? Kalau mereka sudah terlanjur sekalipun, kita kena tanggung semuanya.”
“Susah akak nak cakap Simah. Faris tidak macam tu. Serba-salah akak ni. Akak kesal Simah. Akak kesal sungguh!”
Simah dan Sufian makin keliru. Apa sebenarnya yang terjadi?
Perbualan mereka terhenti bila telefon bimbit Sufian berdering.
“Sapa bang?”
“Fiza”
“Hello, Fiza. Ini papa sayang…..” Tiba-tiba Sufian terhenti bicara. Dia seperti mengamati suara Fiza.
“Kenapa bang, kenapa dengan Fiza bang?” Kali ini pertanyaan Simah mula diiringi esakkan. Dia menggoncang-goncang lengan Sufian.
Sewaktu balik dari rumah, Kak Bedah menuju rumah Tok Mahat, Simah dan Sufian berselisih dengan sebuah peronda polis yang keluar dari jalan anak ke rumah Tok Mahat. Simah dan Sufian saling berpandangan.
Sesampai di laman, Fiza yang berada di tepi sebuah kereta meluru mendapatkan Simah dan Sufian.
Tangisannya kedengaran di mana-mana. Ada sekumpulan orang kampung berada di situ.
“Maafkan Fiza ayah, mama. Fiza sudah tidak tahan. Fiza…Fiza…” Sedu-sedan Fiza makin kuat, air jernih kian laju menuruni pipinya.
“Kenapa ini nak, kenapa jadi macam ini Fiza?” Raung Simah sambil memeluk anak perempuan bongsunya itu. Tangisan demi tangisan silih berganti.
Keesokkan harinya, Sufian beberapa kali menatap akhbar Harian Nasional. Matanya tancap kepada tajuk utama di laman depan.
‘Datuk berlagak alim, ratah daging cucu sendiri.’
Dia melemparkan pandangan jauh ke laman rumahnya. Sufian hanya mampu mengeluh dan beristighfar panjang. – UTUSAN










