Pensijilan halal Jakim bagi 17 cawangan Nasken Coffee mencerminkan komitmen jenama itu dalam memastikan kualiti hidangan dan keyakinan pengguna terus terpelihara.
Ketua Pegawai Eksekutif Nasken International Sdn. Bhd., Mohd. Nazif Ab. Aziz berkata, pensijilan berkenaan bukan sahaja melibatkan premis jualan, malah merangkumi kilang, gudang penyimpanan dan kenderaan logistik.
Katanya, usaha itu sekali gus memastikan setiap aspek operasi, daripada penyediaan makanan hingga pengurusan rantaian bekalan, memenuhi standard halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Komitmen kami di Nasken Coffee sentiasa jelas, bukan sahaja menawarkan pengalaman menikmati kopi dan hidangan premium, malah memastikan setiap cawangan mematuhi standard 100 peratus halalan toyyiban demi memberi jaminan kepada pengguna,” katanya.
Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Mohd. Nassuruddin merakamkan penghargaan kepada pengurusan Nasken International Sdn. Bhd. atas komitmen memperkasakan ekosistem industri makanan dan minuman (F&B) halal di negara ini.
Pensijilan tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada usaha Nasken Coffee memperluaskan pasaran dan meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap jenama itu.











