PUTRAJAYA: Tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung hingga hujung tahun ini.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan, melalui keputusan itu, pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar.
Secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik secara bersasar bagi tempoh tersebut yang akan dibiayai kerajaan adalah sebanyak RM2,192 juta.
Selain itu, menurutnya, pengguna-pengguna komersial dan industri akan mengalami penurunan kadar surcaj ICPT sebanyak 1 sen/kWj bagi tempoh sama.
“Kerajaan berharap agar penurunan kadar surcaj ICPT kepada kategori ini dapat terus mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran.
“Di samping menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia, ia seterusnya dapat meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kementerian itu turut berkata, kerajaan juga bersetuju menurunkan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tempoh sama.
Langkah ini supaya pihak PBT dapat menyediakan perkhidmatan pencahayaan yang menyeluruh di kawasan awam seperti lampu-lampu jalan, lampu taman-taman perumahan dan lampu kawasan rekreasi.
“Kementerian percaya pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan terbaik pada masa ini supaya dapat mengurangkan komitmen subsidi kerajaan yang mana peruntukan tersebut akan disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat.
“Ia pada masa sama membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara,” katanya.
Selain itu, kerajaan kekal komited memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.
Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran. – UTUSAN










