Papagomo mohon dibicara

Papagomo mohon dibicara

WAN Muhammad Azri Wan Deris hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi tuduhan menghasut untuk mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas penulis blog, Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan membuat kenyataan menghasut untuk mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 41, meminta dibi­carakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di laman X miliknya atas nama ‘Sir Azri’ berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. mengadap Sultan Ibrahim.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini, pukul 12 tengah hari pada 29 April lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat, Mohd Sabri Othman dan Abdul Malik Ayob manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Logen Eskander Abdullah.

Khairul Azreem tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun jumlah tinggi perlu ditetapkan jika ia dibenarkan atas faktor kesalahan membabitkan Yang di-Pertuan Agong.

“Pihak pendakwaan juga memohon perintah larangan supaya tertuduh tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum mengenai kes terbabit.

“Alasan permohonan itu kerana jenis dan sifat kesalahan yang dibuat secara dalam talian dan ia bukan kesalahan biasa. Perintah larangan bersuara atau ‘gag order’ perlu bagi memastikan perjalanan kes tidak dikacau ganggu.

“Perintah ini sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekalkan ketenteraman awam dan memastikan tiada komen yang dapat menyebabkan provokasi antara satu sama lain,” katanya.

Peguam bela Papagomo, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata pertuduhan dihadapi anak guamnya itu adalah ke­salahan yang boleh dijamin.

“Saya mohon mahkamah mengekalkan jaminan RM10,000 untuk keseragaman kesalahan kes sama sebelum ini.

“Untuk menggunakan ‘gag order’ seperti seolah-olah terjumlah kepada satu hukuman. Dengan rendah diri, saya memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan perintah larangan ditolak,” katanya.

Siti Aminah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan Papagomo perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan hingga kes selesai.

“Perintah larangan bersuara tidak dibenarkan dan mahkamah tetapkan 23 Mei ini untuk sebutan kes,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN