PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan lanjut yang mungkin dikenakan susulan video tular melibatkan dirinya.
Mohd. Shuhaily berkata, kejadian tular itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Susulan itu, satu laporan polis turut dibuat ekoran kemungkinan ada usaha mencemarkan imej AKPS secara am dan namanya sendiri khususnya.
“Seperti tuan-tuan selalu lihat dalam klip video dalam media sosial, saya sering mengatakan saya tidak sempurna.
“Saya sudah banyak kali mengatakan perkara itu dan hari ini saya berdiri di hadapan anda semua, mengakui serta berdepan dengan segala kekurangan diri saya.
“Saya juga telah memaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan dan juga kementerian berkaitan hal itu, justeru apa juga keputusan mereka saya terima,” katanya semasa sidang akhbar semalam.
Jelas beliau, untuk mengubah sesuatu perkara, ia memerlukan harga dan jika ia adalah dirinya, maka ia akan dibayar dengan dirinya.
“Apapun saya akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat lanjut dengan penuh efisien dan biarlah keadilan akan muncul kelak untuk semua pihak,” katanya.
Terdahulu, menerusi video tular, individu mirip Mohd. Shuhaily kelihatan memarahi individu lain di satu lokasi dipercayai di KLIA.
Pada masa sama, tular salinan dakwaan individu yang mendakwa dikasari Mohd. Shuhaily.-UTUSAN.











