KUALA LUMPUR: UMNO dan Pas perlu meneruskan kerjasama yang terjalin ketika ini sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bagi memastikan usaha penyatuan orang Melayu dapat diperkukuh.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama kedua-dua parti itu penting dalam usaha menyatukan orang Melayu selaras dengan gagasan Rumah Bangsa yang dibawa Presiden UMNO.
Katanya, malah kerjasama UMNO dan Pas penting bagi memastikan orang Melayu tidak terus berpecah selain memperkukuh peluang kedua-dua parti untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
“Saya harap, kita sudah kerjasama di Negeri Sembilan. Melaka tak lama lagi dan kita harap apa yang berlaku di Negeri Sembilan akan berlaku juga di Melaka.
“Supaya kita bersama-sama, parti UMNO dengan Pas bersama-sama dan insya-Allah bukan setakat di Melaka kita boleh menang, di PRU16 pun kita akan menang,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mengulas mengenai penyatuan orang Melayu yang menjadi antara perkara dibangkitkan pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini, Ismail Sabri berkata, sejarah menunjukkan masyarakat Melayu pernah disatukan di bawah UMNO.
Beliau berkata, gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga mempunyai matlamat untuk menyatupadukan orang Melayu.
“Memang daripada segi sejarah pun, orang Melayu ini disatukan di bawah UMNO dari dulu. Sekarang ini, Presiden kita bawa gagasan Rumah Bangsa. Rumah Bangsa itu sebenarnya adalah tujuan untuk menyatupadukan orang Melayu.
“Kita orang Melayu tak boleh berpecah. Kalau kita nak kuasa itu kekal, kuat, kita mesti bersatu,” katanya.-UTUSAN.










