Tiada sekatan peruntukan, KKDW terlebih belanja

Tiada sekatan peruntukan, KKDW terlebih belanja

LAPORAN Utusan Malaysia, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada sekatan dibuat ke atas peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung projek jalan luar bandar malah ia telah disalurkan sepenuh­nya oleh Kementerian Kewa­ngan (MoF).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican menjelaskan, kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berbangkit adalah di­sebabkan peruntukan tahun semasa telah pun dibelanjakan hampir sepenuhnya oleh KKDW.

“Sejak beberapa tahun lalu, KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan untuk projek-projek jalan luar bandar,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambah beliau, MoF juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta setakat ini bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor di bawah projek pembangunan KKDW.

Pada masa sama, MoF juga dalam proses mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain untuk membantu menampung keterlebihan ko­mitmen oleh kementerian itu.

Mengikut rekod MoF, sejak tahun 2023, perbelanjaan KKDW melebihi peruntukan sebenar iaitu RM1.8 bilion (perbelanjaan) berbanding RM1.1 bilion (peruntukan) diikuti RM2 bilion per­belanjaan melebihi RM1.3 bilion (2024) dan RM2.3 bilion berban­ding RM1.6 bilion (2025).

Bagi tahun ini pula setakat terkini, perbelanjaan KKDW adalah pada RM1.9 bilion berbanding RM2.1 bilion peruntukan sebenar.

Kata Johan Mahmood, MoF bekerjasama dengan KKDW untuk menangani isu berkenaan antaranya dengan mengatur semula peruntukan KKDW berdasarkan keutamaan.

Jelasnya, setiap kementerian bertanggungjawab merancang dan mengurus perbelanjaan berdasarkan peruntukan belanjawan tahunan yang telah diluluskan Parlimen.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kekecewaan berhubung kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di bawah KKDW sehingga menjejaskan kelangsungan operasi mereka.

Kata Ahmad Zahid, beliau ‘panas’ dengan isu itu apabila masih terdapat sebilangan kontraktor yang sudah melaksanakan kerja dan mencapai kemajuan ditetapkan mengikut kontrak pembangunan termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB), namun berdepan kelewatan menerima bayaran.

Katanya, keadaan itu memberi kesan lebih besar apabila kontraktor berdepan masalah aliran tunai termasuk ada yang terpaksa menutup operasi, selain disaman pembekal bahan dan subkontraktor.

Pada masa sama, beliau menegur pelaksanaan peruntukan yang disifatkannya tidak selari dengan peruntukan atau bajet yang sudah diluluskan.

“Bajet yang diumumkan hendaklah disalurkan, Jangan (yang) tidak ada peruntukan dalam bajet, tetapi itu yang dilaksanakan.

“Yang patut dibayar tidak dibayar, yang tidak perlu dibayar, dibayar. Yang not budgeted for dilakukan, yang budgeted for tidak dilaksanakan. Itu masalah di hadapan kita. Saya bukan marah, saya hot sahaja,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbarnya, Fadzmel Fadzil berkata, kenyataan MoF berhubung peruntukan disalurkan kepada KKDW adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar yang berlaku.

Katanya, beliau tidak pasti bagaimana Ketua Setiausaha Perbendaharaan boleh menyatakan bahawa KKDW telah berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan sedangkan Tatacara Kewangan Kerajaan tidak sesekali membenarkan dan kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya membuat perbelanjaan me­lebihi peruntukan yang telah diluluskan.

“Setiap permohonan peruntukan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan dan setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan yang menggunapakai Intergrated Go­vernment Financial Management Accounting System (iGFMAS).

“Malah, setiap projek dan program pembangunan mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi. Sekiranya benar berlaku perbelanjaan yang tidak teratur atau melebihi peruntukan, perkara tersebut tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan.

“Sistem kewangan kerajaan juga tidak membenarkan sesuatu projek atau program dibelanjakan tanpa butiran dan peruntukan yang telah diluluskan. Penggunaan istilah ‘berbelanja melebihi peruntukan’ memberi gambaran yang tidak tepat terhadap apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×