Siasatan baja lewat: Mohamad Sabu sedia bagi kerjasama pada SPRM

Siasatan baja lewat: Mohamad Sabu sedia bagi kerjasama pada SPRM

Bekalan beras
MOHAMAD Sabu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sedia memberikan kerjasama jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada kira-kira 60,000 pesawah.

Beliau berkata, setakat ini dirinya belum dihubungi pihak SPRM bagi membantu siasatan kes tersebut bersama dengan kementeriannya.

“Setakat ini saya belum dipanggil. Sekiranya diperlukan, saya dan kementerian bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Tiada apa yang perlu disembunyikan dan kami terbuka untuk membantu sebarang siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya sedia memanggil menteri dan ketua setiausaha kementerian berkaitan sekiranya perlu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kelewatan pengagihan bekalan baja kepada pesawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu.

Setakat ini, seramai 13 saksi sudah dipanggil dan dirakam kenyataan termasuk Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), empat pegawai MADA dan lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Siasatan kes dibuka pada 26 Ogos lalu, berkait dakwaan kegagalan syarikat pembekal baja, TaaVeeKun Manufacturing Sdn Bhd (Taaveekun) yang dilantik oleh kementerian untuk membekal, menghantar dan mengedar Baja Paid 3 bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan MADA.

Kawasan itu membabitkan keluasan 100,000 hektar untuk keperluan tanaman pada Musim 1 dan 2 tahun ini, bagi tempoh masa satu tahun yang membabitkan seramai 60,000 pesawah. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×