SEREMBAN: Semua proses dan tatacara proklamasi pengosongan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertarikh 19 April lalu telah dipatuhi seperti ditetapkan di bawah undang-undang negeri.
Sekretariat Majlis Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin berkata, proses itu dibuat berdasarkan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, termasuk siasatan awal pada 5 Mac dan siasatan lanjutan pada 19 April sebelum proklamasi dikeluarkan.
Katanya, fakta berkenaan jelas menunjukkan tatacara ditetapkan di bawah Perkara 10 telah dipatuhi, sekali gus bercanggah dengan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mendakwa tiada fakta menunjukkan pematuhan proses tersebut.
“Sekretariat Majlis Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin membantah kenyataan AGC kerana nasihat yang diberikan berhubung perkara ini tidak berdasarkan maklumat dan fakta yang tepat serta lengkap mengenai urutan peristiwa sebenar,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas AGC pada 17 September menyatakan proklamasi 19 April tidak sah kerana didakwa tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.
Sekretariat turut mempertikaikan rujukan AGC kepada prosiding di Mahkamah Tinggi Seremban yang masih berjalan.
Menurutnya, prosiding berkenaan hanya berkaitan tuntutan mengemukakan minit mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 17 April dan tidak menyentuh persoalan keabsahan proklamasi 19 April.
Katanya, terdapat satu lagi prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan permohonan writ mandamus yang tidak disebut AGC, termasuk dakwaan bahawa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim telah melaksanakan kewajipannya di bawah Perkara 10.
Mengenai injunksi ad interim yang dirujuk AGC, sekretariat menjelaskan perintah itu antara lain berkaitan DKU bagi mengekalkan status quo sehingga 21 Mei lalu.
Katanya, status quo berkenaan terdiri daripada empat Undang Yang Empat yang sah dan diiktiraf, selain Tunku Besar Tampin dan Shahbandar Sungai Ujong.
“Susunan keahlian inilah yang membentuk status quo DKU yang dilindungi oleh perintah mahkamah pada 21 Mei 2026, bukan senarai Undang yang diperkenalkan kemudian menerusi mesyuarat 31 Julai atau 13 September 2026,” katanya.
Sekretariat turut menggesa AGC meneliti semula kenyataannya berdasarkan fakta dan urutan peristiwa sebenar.
Dalam perkembangan sama, sekretariat mempertikaikan pendirian Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim yang enggan mewartakan atau melaksanakan proklamasi berkenaan selaras dengan nasihat AGC.
Mohd. Zafir sebelum ini berkata, pentadbiran negeri menerima nasihat AGC bahawa proklamasi itu tidak sah dan sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan akan menjadi tidak sah serta tidak berperlembagaan.
Sebaliknya, sekretariat mengesyorkan beliau meletakkan jawatan atau dikenakan tindakan tatatertib atas dakwaan mengingkari keputusan Exco negeri.
Sekretariat turut menegaskan pewartaan bukan syarat kepada keabsahan proklamasi, sebaliknya Proklamasi di bawah Perkara 10(2) dikatakan sah dan sempurna selepas semua penandatangan menurunkan tandatangan. – UTUSAN











