Persidaya angkat dikir barat ke arah profesional

Persidaya angkat dikir barat ke arah profesional

ANIZA Musa (empat kiri) bersama penggiat seni dikir barat selepas perasmian Pusat Inovasi Dikir Barat Arts for All Seasons (ArtsFAS) di Kampung Padang Lalang, Tanah Merah, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Penubuhan Pusat Inovasi Dikir Barat oleh Persatuan Cinta Seni Budaya (Persidaya) dengan kerjasama Yayasan Hasanah menjadi platform baharu mengangkat seni berkenaan ke pentas lebih besar dan profesional sekali gus membebaskan ia dari status persembahan ‘kampung’.

Pengerusinya, Aniza Musa berkata, pusat berkenaan menyediakan pentas untuk penggiat dikir barat mempelajari selok-belok persembahan profesional termasuk pencahayaan, etika dan penguasaan pentas.

Katanya, penggiat turut diberi pendedahan mengenai cara berkomunikasi dengan penonton, mengawal pentas serta menjadikan sesuatu persembahan lebih menarik.

“Tujuannya untuk mengajar persembahan di pentas profesional. Maknanya, kita mahu mengangkat seni daripada taraf kampung kepada profesional dan dibawa ke pentas yang lebih besar.

“Contohnya, mereka boleh belajar mengenai pencahayaan, etika dan pengurusan pentas yang kita sediakan di sini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pusat Inovasi Dikir Barat Arts for All Seasons (ArtsFAS) di Kampung Padang Lalang di sini malam tadi.

Aniza memberitahu, dia berhasrat mendokumentasikan sejarah dikir barat menerusi penyediaan pelbagai maklumat berkaitan seni itu di pusat berkenaan.

Katanya, ketika ini dia sedang mengumpulkan maklumat untuk diletakkan di pusat berkenaan sebagai rujuk kepada pencinta seni berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Hasanah kerana memberikan sokongan penuh dalam mengangkat dikir barat ke arah lebih profesional.

“Usaha ini dapat membantu mengembangkan dan kelestarian seni tradisi dan dapat diwarisi oleh generasi baru dengan sebaiknya,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Seni dan Ruang Awam Yayasan Hasanah Nini Marini berkata, bantuan Yayasan Hasanah menerusi geran ArtsFAS tidak terhad kepada seni persembahan, sebaliknya turut meliputi seni visual, tekstil dan pelbagai usaha memperkukuh warisan.

Katanya, ia boleh dimanfaatkan bagi penganjuran bengkel untuk meningkatkan kemahiran serta melahirkan pewaris dalam bidang seni dan budaya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×