Penghormatan negara

Penghormatan negara

TUN. Dr. Mahathir Mohamad menabur bunga di atas pusara isterinya, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya semalam. Pemergian Dr. Siti Hasmah bukan sahaja satu kehilangan kepada ahli keluarganya, tetapi juga kepada negara.– UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat, Tun Dr. Mahathir Mohamad, meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pagi semalam.

Allahyarham yang mencatat sejarah sebagai antara wanita Melayu terawal bergelar pegawai perubatan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.20 pagi di pusat rawatan berkenaan di samping ahli keluarganya.

Pemergian Dr. Siti Hasmah itu menerima penghormatan negara apabila kerajaan memberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebagai pengiktirafan terhadap segala jasa dan sumbangan besarnya kepada negara selama ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia khususnya jasa Allahyarham dalam tempoh 24 tahun sebagai isteri Perdana Menteri pada dua era berlainan iaitu dari tahun 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020.

“Bagi pihak Kerajaan Madani dan seluruh rakyat Malaysia, sa­ya menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Tun Dr. Siti Has­mah Mohd. Ali yang menghembuskan nafas terakhir di IJN pagi tadi (semalam). Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa Allahyarham.

“Saya telah mengarahkan KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan PAT (Panglima Angkatan Tentera) untuk membantu pe­ngurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarham,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Perdana Menteri turut memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan yang turut menjadi lokasi pengurusan jenazah.

Sebelum itu, jenazah Dr. Siti Hasmah dibawa dari kediaman di The Mines Residence, Seri Kembangan selepas dibawa keluar dari IJN pada pukul 10.48 pagi.

Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya kira-kira pukul 6.20 petang semalam dalam suasana penuh hiba namun penuh istiadat.

Talkin dibacakan oleh Imam Besar Masjid Putra Putrajaya, Dr. Muhamad Zakuwa Rodzali.

Pusara Allahyarham pula terletak bersebelahan pusara Allahyarham Tun Endon Mah­mood, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam pada itu, ribuan orang ramai turut hadir malah sejak pukul 2 petang bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Dr. Siti Hasmah.

Yang turut berkenan hadir, kerabat diraja Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang ditemani Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Tengku Puteri Raja Tengku Afzan Aminah Hafidzatullah.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin antara kenamaan yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham selain Menteri-Menteri Kabinet.

Anwar dalam pada itu ber­kata, beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga, berdukacita apabila menerima khabar me­ngenai pemergiaan Siti Hasmah.

Katanya, beliau dan keluarga mengenali Allahyarham sebagai individu yang tabah dan kuat serta sentiasa mengambil berat tentang orang di sekeliling.

“Kami mengenali Almarhumah sebagai Kak Hasmah, seorang yang lembut tutur katanya, namun tabah dan kuat jiwanya malah sentiasa mengambil berat tentang orang di sekelilingnya dengan kasih sayang seorang ibu.

“Hari ini, negara kehila­ngan sosok keibuan yang dekat di hati rakyat. Sementelahan, kami akan mengenang Kak Hasmah dengan rasa kasih yang mendalam bersama segala jasa dan kebaikan yang di­tinggalkannya.

“Saya dan Azizah merakamkan setulus takziah kepada Tun Dr. Mahathir serta seluruh keluarga, dan mendoakan semoga Allah SWT mengampuni Almarhumah, menerima segala amal baktinya serta mengurniakan ketabahan kepada mereka yang ditinggalkan,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memohon orang ramai agar memaafkan segala kesilapan yang mungkin dilakukan oleh Allahyarham ibunya itu.

“Jika ada apa-apa kesilapan atau salah laku daripada pihak beliau, ampun dan maaf kami pinta. Selain itu, sekiranya ada hutang piutang yang belum selesai, sila berurusan dengan kami pihak keluarga. Insya-Allah, kami akan menyelesaikannya sebaik mungkin,” katanya ketika berucap ringkas selepas selesai solat jenazah.

Dalam pada itu, Mukhriz menganggap dirinya antara anak yang paling bertuah kerana pada usia 62 tahun masih mempunyai ibu dan juga seorang ayah.

Menurut Mukhriz, pemergian ibunya pada usia 100 tahun merupakan satu nikmat dan tuah yang amat bermakna bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada negara.

“Saya anggap itu satu tuah yang sangat-sangat bermakna bukan hanya pada keluarga kami, insya-Allah juga bagi negara kerana Tun Hasmah sebenarnya seorang yang sentiasa utamakan khidmat bagi rakyat dan bagi negara.

“Sampai ke saat-saat akhir, dia masih lagi memikirkan soal masa depan kita,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengebumian Tun Siti Hasmah di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×