ARAU: Pas Perlis sedia menguruskan kemelut dalaman parti itu sendiri selepas lebih enam bulan berada di bawah pantauan Jawatankuasa Tadbir Sementara (JTS) diterajui oleh Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad.
Ia sekali gus menyahut seruan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar parti itu ‘berubat sendiri’ dalam menangani kemelut Pas di Perlis.
Yang Dipertua Pas Kawasan Arau, Solahudin Azmi berkata, seruan supaya ‘berubat sendiri’ itu dilihat sebagai peluang terbaik untuk kepemimpinan negeri kembali mengemudi parti secara berdikari.
Katanya, sudah tiba masanya Pas Perlis kembali bergerak sendiri dan merencana gerak kerja politik berbekalkan kekuatan serta kesepakatan kepemimpinan di peringkat negeri.
“Selepas lebih enam bulan berada di bawah pantauan JTS yang diterajui oleh Idris, kita yakin seluruh saf kepimpinan negeri sudah cukup sedia dan matang untuk menguruskan hal ehwal parti.
“Malah, kita juga bertuah berada di bawah kepimpinan Pesuruhjaya Pas Perlis, Ahmad Ali yang lebih enam dekad menjadi ahli Pas dan sudah tentu pengalaman beliau boleh kita manfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Sabtu lalu media melaporkan, kedegilan segelintir pemimpin dan ahli Pas di Perlis yang terus bertelagah dan tidak mematuhi arahan parti mengundang teguran keras Muhammad Sanusi.
Muhammad Sanusi secara sinis juga menyifatkan segala ikhtiar untuk ‘merawat’ krisis dalaman kepimpinan Pas di negeri itu sudah menemui jalan buntu sehinggakan beliau secara berseloroh mengandaikan mereka menunggu masa untuk ‘dipanah lintaq’ (dipanah petir).
Yang Dipertua Pas Kawasan Kangar, Yussaine Yahya turut senada dan menyatakan kesediaan bergerak secara mandiri berikutan kesepaduan sudah sedia terjalin di peringkat akar umbi.
Katanya, Muhammad Sanusi mungkin tidak mengetahui perkembangan sebenar di negeri ini berikutan jarang dalam mesyuarat pengurusan.
“Beliau (Sanusi) hanya hadir sekali sahaja dalam mesyuarat, selepas itu tidak hadir. Mungkin kerana itu beliau tidak tahu perkembangan terkini, sedangkan hakikatnya kita di sini sudah lama bergerak bersama dalam satu keluarga.
“Majoriti kepimpinan dewan, ahli jawatankuasa dan ahli Pas Perlis sudah pun memfokuskan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan hanya segelintir sahaja yang sengaja bermain isu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat Pas Perlis, Husna Hashim berkata, kepimpinan di peringkat negeri sentiasa akur dan menghormati setiap ketetapan digariskan pucuk pimpinan parti.
“Segala arahan yang ditetapkan sentiasa kita patuhi. Antaranya termasuklah keputusan menolak tawaran jawatan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Perlis.
“Selain itu, kita juga akur menerima pelantikan tiga jawatan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di Chuping, Bintong dan Guar Sanji,” katanya.-UTUSAN










