PETALING JAYA: Masalah dalaman dalam Jawatankuasa Kerja (WC) Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) didakwa masih berlarutan sejak pemilihan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) pada 3 Ogos 2025.
Naib Presiden MTUC, Haji Ismail Ali berkata, banyak masa dan tumpuan sejak pemilihan berkenaan tertumpu kepada masalah dalaman yang tidak berkesudahan dalam kalangan Jawatankuasa Kerja MTUC.
Menurutnya, antara isu yang berlaku termasuk tindakan Kamarul Baharin Mansor yang didakwa membelakangkan Jawatankuasa Kerja MTUC dalam usaha mengadakan Persidangan Perwakilan Khas (SDC) pada 4 Oktober 2026 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.
“Sejak TDC 3 Ogos 2025 sehingga kini masa dan penumpuan banyak tertumpu kepada masalah dalaman yang tidak berkesudahan di kalangan Jawatankuasa Kerja (WC) MTUC itu sendiri.
“Semua tindakan yang dilakukan oleh En. Kamarul membelakangkan Jawatankuasa Kerja MTUC termasuk untuk mengadakan SDC pada 4 Oktober 2026 di IDCC, Shah Alam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ismail turut mendakwa agenda SDC berkenaan tidak dibincangkan bersama dalam Jawatankuasa Kerja MTUC.
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman terhadap tindakan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (KPKS).
Kes berkenaan timbul susulan keputusan KPKS pada 9 Mei 2024 yang tidak mendaftarkan Kamarul sebagai Setiausaha Kesatuan bagi sesi 2023-2026 berikutan isu berkaitan status pekerjaannya.
Menurut Ismail, isu utama yang dipertimbangkan mahkamah adalah status Kamarul sebagai seorang ‘pekerja’ serta kelayakannya untuk memegang jawatan dalam kesatuan sekerja di bawah Seksyen 26(1A) Akta Kesatuan Sekerja 1959.
Beliau berkata, kedudukan dan kelayakan Kamarul untuk memegang atau bertanding jawatan dalam kesatuan sekerja bagi tempoh berkaitan, termasuk ketika pemilihan TDC pada 3 Ogos 2025, perlu dinilai berdasarkan dapatan mahkamah, keputusan KPKS serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pematuhan kepada syarat kelayakan yang ditetapkan undang-undang bukanlah suatu pilihan, sebaliknya satu kewajipan yang mesti dihormati oleh semua pihak,” katanya.
Ismail berkata, sebarang keputusan atau tindakan yang dibuat oleh individu yang kelayakannya dipertikaikan boleh diteliti, disemak atau dicabar melalui saluran undang-undang serta mekanisme tadbir urus yang sewajarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap keputusan mahkamah dan kenyataan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dapat membuka mata barisan pimpinan kesatuan sekerja yang bergabung di bawah MTUC supaya menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, ketelusan, akauntabiliti serta tadbir urus yang baik.










