PETALING JAYA: Malaysia perlu menjadi rakan kongsi China dalam industri masa depan termasuk pembuatan termaju, kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan elektrik (EV), semikonduktor dan teknologi digital bagi memacu kemajuan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keupayaan China dalam sektor berkenaan perlu dimanfaatkan bagi membolehkan Malaysia bergerak seiring perkembangan teknologi global serta meningkatkan daya saing industri tempatan.
Katanya, kerajaan menyasarkan RM500 bilion pelaburan dalam sektor semikonduktor serta melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera Malaysia berkemahiran tinggi menjelang 2030 sejajar Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS).
“Oleh itu Malaysia menyasarkan untuk memperkukuh kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) dengan China. Jadi kami mengalu-alukan lebih banyak pertukaran antara pelajar dan tenaga pengajar, lebih banyak program latihan bersama, hubungan lebih erat dalam kalangan institusi serta selain perkongsian teknologi dan kepakaran yang lebih luas.
“Inisiatif Latihan TVET Belia Malaysia-China telah mempamerkan hasil yang boleh dicapai melalui kerjasama antara institusi kita. Saya percaya TVET boleh menjadi antara teras hubungan yang lebih luas antara Malaysia dan China,” katanya ketika pada Sesi Plenari Pembukaan Persidangan dan Ekspo Worldskills Shanghai 2026 hari ini.
Premier China, Li Qiang merasmikan persidangan selama tiga hari itu yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC).
Menurut Anwar, Malaysia mengangkat TVET sebagai teras dasar perindustriannya, menjadikannya sebagai instrumen utama transformasi ekonomi untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dengan pendapatan yang baik.
Katanya, strategi itu merupakan teras kepada usaha negara untuk beralih kepada ekonomi dengan pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi sejajar dengan pengembangan kepada bidang reka bentuk cip, AI, teknologi hijau dan agromakanan.
Beliau berkata di bawah fasa pembaharuan TVET 2.0, Malaysia menyasarkan untuk memperkukuh kerjasama antara pemain industri dan institusi latihan selain memacu pendedahan kepada bidang baharu yang sedang berkembang termasuk semikonduktor, AI dan tenaga boleh baharu.
Anwar berkata, penyelarasan agenda nasional itu diuruskan oleh Majlis TVET Negara melibatkan kira-kira 1,400 institusi yang merangkumi 12 kementerian, kerajaan negeri dan penyedia latihan swasta berteraskan Dasar TVET Negara 2030.
“Syarikat mengetahui peralatan yang digunakan dan sejauh mana keperluan mereka berubah dengan cepat. Mereka perlu menjadi rakan kongsi dalam membentuk bakat dan memastikan mereka sentiasa berada di hadapan.
“Ekonomi moden tidak dapat berfungsi tanpa tenaga teknikal yang memastikan barisan pengeluaran semikonduktor terus beroperasi atau kilang kenderaan elektrik menepati jadual. Jentera mungkin menjadi semakin maju.
“Perisian mungkin menjadi semakin pintar. Bagaimanapun, seseorang masih perlu memahami cara ia berfungsi dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila ia tidak berfungsi,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam memastikan pembangunan modal insan berjalan seiring dengan arus pemodenan, ekonomi moden tidak boleh berfungsi tanpa juruteknik yang memastikan pengeluaran semikonduktor terus beroperasi atau kilang kenderaan elektrik mengikut jadual.
Katanya, jentera dan perisian mungkin menjadi lebih canggih serta bijak namun seseorang masih perlu memahami cara ia berfungsi selain tahu apa yang perlu dilakukan apabila ia bermasalah.
“Golongan muda akan memilih pekerjaan ini apabila mereka dapat melihat ke mana arah tujuannya. Tugas kita adalah untuk memastikan ia membawa ke arah yang berbaloi, ke arah pekerjaan berkemahiran dan pendapatan yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan tahniah kepada WorldSkills International kerana telah 75 tahun memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada kerja-kerja berkemahiran.
Katanya, Malaysia telah menyertai pertandingan itu sejak 1995 dan kekal komited terhadap misinya.
“Kami akan terus mempromosikan dasar dan meningkatkan kecemerlangan teknikal di rantau kita dan seterusnya. Tahun ini, Malaysia telah membawa 22 peserta muda ke Shanghai dalam 21 bidang kemahiran,” katanya.











