Lokasi baharu diharap kembalikan kemeriahan Pesta Pulau Pinang

Lokasi baharu diharap kembalikan kemeriahan Pesta Pulau Pinang

PESTA Pulau Pinang akan diadakan buat pertama kalinya di kawasan Seberang Perai bagi edisi ke-60 pada penghujung tahun ini selepas lebih lima dekad diadakan di sebelah pulau. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri perlu memastikan lokasi baharu penganjuran Pesta Pulau Pinang pada tahun ini mampu mengembalikan nostalgia kemeriahannya sama seperti sebelum ini.

Tokoh budaya dan penggiat seni tempatan, Omar Md. Hashim atau Omara, 72, berkata, festival tahun ini boleh menjadi rujukan serta tatapan generasi muda pada masa akan datang.

“Saya terlibat dengan Pesta Pulau Pinang ini sudah lama iaitu sejak tahun 1971. Ketika itu, tapak pestanya ialah di Padang Kota sebelum dipindahkan berhampiran kawasan feri tidak jauh dari sebuah perkampungan Cina dan terakhir, di Sungai Nibong.

“Saya menyaksikan sendiri perkembangan festival tahunan ini dari dekat. Walaupun sedikit sedih kerana ia tidak lagi dianjurkan di sebelah pulau namun saya berharap agar identiti Pesta Pulau Pinang ini dikekalkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow tahun lepas mengumumkan bahawa Pesta Pulau Pinang yang merupakan sebahagian daripada acara tahunan yang telah dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan kerajaan negeri terpaksa ‘direhatkan’ untuk tempoh enam tahun.

Menurut beliau, ini bagi membolehkan pelaksanaan kerja-kerja Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di lokasi berkenaan oleh MRT Corp sebagai pemaju projek dijalankan.

Bagaimanapun, Kon Yeow baru-baru ini mengesahkan bahwa Pesta Pulau Pinang untuk edisi ke-60 akan diteruskan pada hujung tahun ini dengan Padang Menora di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU) dipilih menjadi lokasi baharu penganjuran festival berkenaan.

Mengulas lanjut, Omar turut berharap agar kerajaan negeri menimbangkan kemungkinan untuk menganjurkan semula Pesta Pulau Pinang di sebelah pulau selepas tempoh enam tahun.

“Pada masa itu, mungkin lebih sesuai (diadakan di sebelah pulau) kerana selain ada jambatan dan feri yang menghubungkan seberang serta kawasan pulau, kemudahan LRT (transit aliran ringan) juga mungkin sudah siap sepenuhnya untuk orang ramai berkunjung ke sana,” katanya.

Bagi seorang penduduk, Ismail Kassim, 60, penganjuran Pesta Pulau Pinang di kawasan Seberang Perai mampu mengurangkan kesesakan yang berlaku di sebelah pulau memandangkan festival itu kebiasaannya diadakan ketika cuti akhir tahun.

Katanya, meskipun penganjuran pesta berkenaan mampu melonjakkan ekonomi penduduk setempat secara tidak langsung, namun kerajaan perlu memastikan bahawa lokasi yang dipilih itu benar-benar sesuai dan bukan bersifat ‘tangkap muat’ sahaja.

“Saya terbuka jika Pesta Pulau Pinang ini dianjurkan di kawasan seberang. Tapi, kena pastikan tapak pesta mudah untuk diakses dan tidak menyusahkan penduduk setempat pula,” kata pesara kerajaan itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×