PETALING JAYA: Lima juara kategori Medal pada Final Kebangsaan Perodua National Amateur Golf Series (PNAGS) 2026 akan mewakili Malaysia pada Final Dunia Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) di Desaru Coast, Johor dari 23 hingga 31 Oktober ini.
Final Kebangsaan yang berakhir di Templer Park Country & Golf Club, Rawang, semalam menghimpunkan 84 pemain golf amatur bagi pertandingan selama dua hari.
Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, selepas juara kebangsaan ditentukan, tumpuan kini beralih kepada penyertaan pasukan Malaysia di Desaru Coast.
“Dengan juara kebangsaan kini telah ditentukan, tumpuan beralih ke Desaru Coast, Johor, tempat pasukan Malaysia akan bersaing dengan pemain golf amatur terkemuka dunia pada Final Dunia WAGC 2026 Oktober ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PNAGS memberi peluang kepada pemain golf Malaysia untuk bertanding pada tahap tertinggi, bermula daripada kelayakan negeri hingga Final Kebangsaan, selain mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan golf dan sukan.
Pemain amateur, Nuralif Mohd Zahari muncul juara Medal A dengan jumlah skor bersih 149 bagi dua pusingan, manakala Azhari Yusof memenangi Medal C dengan skor bersih 146.
Cheah Chin Lye menjuarai Medal D dengan skor bersih 153, sementara Ahmad Hakim Sabri meraih gelaran Medal E selepas mencatat skor bersih 142.
Dalam kategori Skor Kasar, Nordin Yahya muncul juara dengan jumlah 153 pukulan bagi dua hari pertandingan.
Sementara itu, Melaka yang diketuai Mohd Firdaus Sabri muncul juara kategori berpasukan negeri dengan jumlah skor bersih 590 berdasarkan keputusan empat pemain yang diambil kira, sekali gus meraih Piala Cabaran Perodua.
Pulau Pinang menduduki tempat kedua dengan skor bersih 598, diikuti Pahang di tempat ketiga dengan 603.
Final Dunia WAGC 2026 dijangka menghimpunkan 500 pemain golf dari 48 negara dan diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta Tahun Melawat Johor 2026. – UTUSAN











