Laporan awal nahas dalam 30 hari – CAAM

Laporan awal nahas dalam 30 hari – CAAM

Operasi mencari dan menyelamat di sekitar lokasi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang terhempas berdekatan Long Lellang STOLport, Ulu Baram, Sarawak, kelmarin. – BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laporan awal nahas helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapa­ngan Terbang Berlepas dan Pendaratan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak di­jangka dikeluarkan dalam tempoh 30 hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, laporan penuh nahas itu pula dijangka diterbitkan dalam tempoh setahun.

Katanya, tempoh berkenaan adalah berdasarkan Lampiran 13 (Annex 13) Pertubuhan Penerba­ngan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menggariskan tatacara siasatan kemalangan dan insiden penerbangan.

“Jika merujuk kepada Annex 13, laporan awal akan dikeluarkan 30 hari selepas kemalangan. Itu adalah tempoh standard. Laporan penuh pula akan dikeluarkan setahun selepas kemalangan,” katanya semasa sidang akhbar di Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026 di sini semalam.

Katanya, semakan terhadap rekod terdahulu berkaitan pengendali pesawat masih perlu dilakukan bagi mendapatkan maklumat sama ada terdapat sebarang rekod penglibatan dalam kemalangan sebelum ini.

Menurutnya, maklumat ber­kenaan belum tersedia ketika ini dan pihaknya akan membuat semakan lanjut terhadap rekod berkaitan.

Katanya, siasatan kemala­ngan akan dijalankan berdasarkan bukti dan maklumat yang dikumpulkan bagi menentukan keadaan kejadian, faktor pe­nyumbang serta punca sebenar kemalangan.

“Sebarang kesimpulan me­ngenai punca kemalangan hanya akan dapat dibuat selepas proses siasatan dan pemeriksaan terhadap semua bukti selesai,” katanya.

Sementara itu, pasukan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan me­maklumkan, pihaknya kini menjalankan analisis serpihan helikopter berkenaan bagi mengenal pasti punca nahas itu.

Namun, proses membawa serpihan keluar dari lokasi dan ke Miri turut berdepan cabaran kekangan logistik ke lokasi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×