PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperluas usaha membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan generasi muda menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan (KPM) sempena penganjuran Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026.
Kerjasama tersebut bakal melibatkan 10,000 sekolah di seluruh negara dengan penyertaan murid dalam HCM 2026 diiktiraf di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), sekali gus menggalakkan penglibatan aktif generasi muda dalam menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Pada tahun ini, HCM 2026 menyasarkan penyertaan serentak 200,000 peserta di seluruh negara, selain menyasarkan dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan serentak tersebut dan pengumpulan 28,000 kilogram barangan kitar semula.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penglibatan generasi muda merupakan antara pendekatan penting dalam usaha membentuk budaya kebersihan sebagai amalan dan tanggungjawab bersama.
“Kebersihan bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa atau pekerja pembersihan. Kebersihan ialah tanggungjawab kita bersama dan cerminan budaya serta jati diri negara.
“HCM perlu menjadi titik tolak kepada perubahan sikap dan amalan yang berterusan, bukan sekadar program sehari,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran HCM 2026 di Pasar Tani Presint 4, di sini semalam.
Menurut KPKT, penganjuran HCM 2026 semakin signifikan apabila Malaysia merekodkan penjanaan sisa sebanyak 14.5 juta tan metrik pada tahun 2024, yang dijangka meningkat kepada 17 juta tan metrik menjelang 2035 sekiranya amalan semasa berterusan.-UTUSAN.










