Keputusan Exco tidak sah di sisi undang-undang - DKU Negeri Sembilan

Keputusan Exco tidak sah di sisi undang-undang – DKU Negeri Sembilan

Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mengenai penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco-exco kerajaan negeri semalam adalah di luar bidang kuasa mereka.

Menurut Dewan, perkara berkaitan adat Melayu termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang terletak dalam bidang kuasanya seperti diperuntukkan di bawah Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan,” katanya.

“Exco dan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan Proklamasi berkenaan atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya

Dalam pada itu, Dewan menyifatkan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim pada 15 September lalu adalah selaras dengan UUTKNS 1959 dan ketetapan DKU.

Katanya, kesahan serta kesan proklamasi berkenaan perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah termasuk penentuan kehakiman.

“Dewan menegaskan semula ketetapannya bahawa Proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah cacat sejak awal dan tiada siasatan menurut Perkara 10 (1) UUTKNS 1959 pernah dilaksanakan; tiga daripada empat orang yang menandatanganinya tidak memegang jawatan Undang pada tarikh tersebut; serta keengganan Menteri Besar yang ketika itu untuk menandatanganinya,

“Sehubungan itu, fungsi di bawah Perkara 10 (2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan sehingga proklamasi itu luput dan terbatal. Exco tidak boleh memulihkan kecacatan tersebut,” katanya.

Selain itu, Dewan berkata, sebarang Proklamasi yang mendakwa memilih Yang di-Pertuan Besar baharu turut tidak sah kerana bersandarkan asas yang sama serta ditandatangani individu yang didakwa tidak memegang jawatan Undang yang sah.

Katanya, prerogatif Undang Yang Empat yang dirujuk dalam dokumen bertarikh 16 September lalu hanya boleh dilaksanakan oleh Undang yang memegang jawatan secara sah dan mengikut syarat serta prosedur ditetapkan UUTKNS 1959.

“Oleh kerana syarat dan prosedur tersebut tidak dipenuhi, tiada prerogatif sedemikian yang sah timbul,” katanya.

Dalam pada itu, Dewan berkata, pegawai Kerajaan Negeri tidak dikehendaki bertindak atas arahan yang berasaskan dokumen bertarikh 5 September atau 16 September lalu kerana tindakan sedemikian didakwa bertentangan dengan UUTKNS 1959 serta ketetapan Dewan.

Dewan turut mengambil maklum bahawa perkara berkenaan sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Seremban dan terdapat perintah mahkamah yang masih berkuat kuasa.

“Dewan menyeru semua pihak supaya menghormati proses mahkamah dan menahan diri daripada mengambil apa-apa langkah yang boleh memintas atau mengganggu proses tersebut,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×