PETALING JAYA: Hadkan penjualan pelekat khas kenderaan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) kepada agensi tertentu dengan disertakan kod maklumat peribadi individu berkenaan.
Itu antara langkah yang dilihat boleh mengawal salah guna pelekat khas kenderaan untuk OKU yang didapati mudah diperoleh dan dibeli secara terbuka.
Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengeluarkan sendiri nombor plat khas kenderaan untuk OKU kepada semua kemudahan golongan itu terutama di kawasan awam.
Malah Pengarah Eksekutif merangkap Penasihat Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) Mohamad Sazali Sha’ari berkata, perkara berkenaan yang pernah dijanjikan sebelum ini perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan sebarang tindakan tidak bertanggungjawab.
Katanya, pihak agensi berkenaan juga berjanji bahawa peruntukan undang-undang berkaitan pelaksanaan juga akan dilaksanakan di bawah tanggungjawab JPJ.
“Sebelum ini, JPJ ada berjanji untuk menyediakan nombor plat khas golongan OKU sebagai identiti kenderaan mereka yang disahkan sebelum ini.
“Namun selepas lebih dua tahun, kami sendiri tidak tahu apakah perkembangan terkini sedangkan ia menjadi satu keperluan untuk kami khususnya mendapatkan kemudahan awam,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Semalam, Presiden Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia merangkap Ahli Majlis kebangsaan Orang Kurang Upaya (MKBOKU), V. Murugeswaran mencadangkan agar kerajaan memperketatkan mekanisme pengeluaran pelekat kenderaan OKU dan memastikan ia boleh diperoleh melalui saluran rasmi.
Ia berikutan penjualan secara terbuka menerusi platform jualan dalam talian dengan harga serendah 70 sen selain boleh didapati di kedai alat tulis tanpa memerlukan pembeli mengemukakan bukti pengesahan OKU.
Beliau sehubungan itu meminta kementerian dan agensi berkaitan untuk meneliti semula cadangan pengenalan plat khas bagi kenderaan yang didaftar dan digunakan oleh pemandu OKU.
Menurutnya, ia sebagai penyelesaian jangka panjang menggantikan sistem pelekat yang kini gagal berfungsi sebagai mekanisme pengesahan berkesan.
Dalam pada itu bekas personaliti TV dan aktivis sosial, Datuk Ras Adiba Mohd. Radzi berkata, beliau pernah berdepan pelbagai pengalaman termasuk berebut dengan individu yang tidak bertanggungjawab ekoran penjualan pelekat tersebut yang dijual secara berleluasa.-UTUSAN.











