TAIPING: Seramai 159 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah berasrama di daerah Lenggong ini mengalami gejala keracunan makanan selepas dipercayai mengambil makanan yang disediakan sempena satu program di sekolah berkenaan, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Datuk A. Sivanesan berkata, kejadian itu dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKN) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa berusia antara 13 hingga 52 tahun, dengan gejala terawal dikesan pada pukul 11.30 malam, 9 September lalu manakala kes terakhir dilaporkan pada pukul 1.40 petang, semalam.
“Kesemua 159 kes mengalami cirit-birit dan sakit perut manakala 125 orang atau 78.6 peratus mengalami sakit kepala.
“Seramai 89 orang mengalami loya, 31 orang muntah dan 15 orang mengalami demam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Taiping, hari ini.
Sivanesan berkata, semua mangsa sudah diperiksa dan menerima rawatan di sekolah berkenaan oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan (KK) Lenggong, manakala 10 kes menerima rawatan lanjut di klinik itu.
“Kesemua kes kini berada dalam keadaan stabil dan tiada seorang pun dimasukkan ke wad,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 34 sampel klinikal termasuk kultur najis dan virologi, 14 sampel persekitaran serta satu sampel makanan diambil semalam untuk dianalisis di Makmal Kesihatan Awam Ipoh (MKAI).
“Makanan yang disyaki menjadi punca kejadian ini disediakan katerer luar yang ditempah sebuah agensi bagi satu program di sekolah berkenaan pada 9 September lalu.
“Susulan kejadian itu, PKD Hulu Perak menjalankan pemeriksaan terhadap premis makanan berkenaan pada jam 2 petang, 10 September lalu dan mendapati premis itu memperoleh penarafan 78.16 peratus,” katanya.
Sivanesan berkata, PKD Hulu Perak kemudian mengeluarkan arahan penutupan premis makanan terbabit mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Katanya, pengusaha dapur turut diberikan pendidikan kesihatan serta arahan kerja bagi melaksanakan kerja pembersihan dan tindakan pembetulan termasuk kawalan makhluk perosak secara berkala.
“Dewan makan sekolah berasrama itu bagaimanapun terus beroperasi seperti biasa bagi menyediakan makanan kepada pelajar,” katanya. –UTUSAN










