Malaysia, Thailand laksana pemeriksaan secara maya atasi isu komoditi udang, siakap - Utusan Malaysia

Malaysia, Thailand laksana pemeriksaan secara maya atasi isu komoditi udang, siakap

MD. ISRAK Abdullah (dua kiri) menyampaikan sumbangan ketika hadir merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda di perairan Pulau Tinggi dan Pulau Sibu di Pejabat Konservasi Mersing, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Malaysia dan Thailand sedang melakukan pemeriksaan secara maya (virtual inspection) bagi mencapai penyelidikan melibatkan isu perdagangan komoditi kedua-dua negara iaitu udang dan ikan siakap.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pemeriksaan tersebut melibatkan penilaian menyeluruh terhadap ladang, makmal, pusat penetasan serta pintu masuk sempadan di kedua-dua belah pihak.

Katanya, proses pemeriksaan bagi kawasan ternakan udang telah selesai dijalankan, manakala tumpuan kini beralih kepada ladang siakap.

“Kita telah selesai lakukan pemeriksaan udang, sama ada pihak Thailand memeriksa ladang kita mahupun kita memeriksa ladang mereka secara maya. Minggu ini pula kita akan laksanakan pemeriksaan untuk siakap.

“Pemeriksaan yang bermula pada 28 Julai lalu dan dijadual berakhir pada 7 Ogos ini adalah penting dalam mengesahkan sistem pengeluaran udang dan siakap kedua-dua negara,” katanya pada Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda di Perairan Pulau Tinggi dan Pulau Sibu di Pejabat Konservasi Mersing, di sini hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Md. Israk Abdullah.

Tambah Adnan, pemeriksaan tersebut dilaksanakan selepas penilaian soal selidik bagi permohonan eksport udang Thailand ke Malaysia selesai di peringkat dokumentasi.

“Sekiranya tiada isu berbangkit, penilaian teknikal dijangka dapat dimuktamad pada pertengahan bulan ini sebelum syor Jabatan dikemukakan kepada Kementerian untuk pertimbangan dan keputusan Kerajaan,” katanya.

Pada 16 Mei lalu, Malaysia dilapor telah memperketatkan kawalan import produk perikanan dari Thailand menerusi penguatkuasaan keperluan CoA bagi ikan siakap serta sekatan sementara terhadap lima spesies udang bermula 1 Jun lalu.

Susulan itu, Thailand dilaporkan bersedia membangkitkan isu penggantungan sementara import lima spesies udang dari negara itu oleh Malaysia di forum Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan ASEAN sekiranya rundingan dua hala gagal menyelesaikan isu berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×