PUTRAJAYA: Seorang lelaki bujang berusia 34 tahun dan berpendidikan menengah, dianggarkan memerlukan RM20,000 untuk kos perkahwinannya. Namun dia hanya mempunyai simpanan sekitar RM3,000.
Situasi itu berdasarkan kajian dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sebelum ini, menggambarkan jurang antara kemampuan kewangan dan kos untuk memulakan alam perkahwinan.
Kajian itu turut mendapati 90.9 peratus golongan bujang masih berhasrat berkahwin, namun tekanan kewangan dan kos sara hidup menyebabkan impian itu tertangguh.
Berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula, median umur perkahwinan ketika ini adalah 29 tahun bagi lelaki, manakala 27 tahun bagi wanita dengan usia perkahwinan meningkat dalam tempoh enam tahun.
Kajian turut mendapati, kadar perkahwinan am bagi penduduk lelaki yang belum berkahwin adalah 37.6 per 1,000 orang, manakala pada kadar 40.2 per 1,000 penduduk perempuan.
Laporan Landskap Fertiliti Malaysia pula menjelaskan, peningkatan usia perkahwinan antara faktor utama menurunkan kadar kesuburan negara, iaitu pada nisbah 1.6 anak bagi setiap wanita, di bawah paras penggantian penduduk (2.1 anak bagi setiap wanita) sekali gus menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat menua.
Laporan Tahunan Bank Negara (BNM) 2025 turut menjelaskan bahawa walaupun inflasi keseluruhan semakin sederhana, ramai isi rumah masih merasakan kos sara hidup tinggi, khususnya bagi keperluan harian seperti makanan, pengangkutan dan perumahan.
BNM turut menegaskan persepsi kos sara hidup tidak semestinya bergerak seiring dengan kadar inflasi rasmi.
Laporan itu sejajar dengan Kajian Institut Khazanah (KRI) berhubung kemampuan memiliki rumah atau kemampuan berhutang rakyat Malaysia, mendapati harga rumah meningkat lebih pantas daripada pendapatan isi rumah.
Malaysia masih dikategorikan sebagai pasaran perumahan ‘ketidakmampuan serius’ mengikut ukuran kemampuan memiliki rumah. Keadaan itu menyebabkan ramai belia memilih menangguhkan pembelian rumah, sekali gus menangguhkan pembentukan keluarga.
Laporan The State of Households menghuraikan bahawa isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana semakin tertekan dengan kos keperluan asas, menyebabkan ruang untuk menyimpan dan membuat komitmen jangka panjang menjadi semakin kecil.
Mengulas isu itu, Pensyarah Kanan (Ekonomi) Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Selangor, Nurul Ainun Ahmad Atory berkata, mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan inflasi pada hari ini, jurang kos dan simpanan lebih besar, menjadi faktor golongan itu menangguhkan perkahwinan mereka.
“Ramai anak muda hari ini bukan tidak mahu berkahwin, tetapi mereka merasakan perlu mencapai tahap kewangan yang lebih stabil terlebih dahulu.
“Dengan kos sara hidup semakin meningkat, harga rumah tinggi dan pendapatan yang tidak berkembang seiring dengan kos kehidupan, ramai memilih untuk menangguhkan perkahwinan sehingga mereka benar-benar bersedia,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Namun begitu, katanya, perubahan gaya hidup, keutamaan terhadap kerjaya dan pendidikan, serta keinginan mencari pasangan yang benar-benar serasi juga antara faktor menangguhkan perkahwinan.
Selain itu, katanya, peluang mendapat pekerjaan yang stabil juga menjadi cabaran utama.
“Bagi mereka, kestabilan kewangan dan kesihatan mental perlu bergerak seiring sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Cabaran sebenar bukan sekadar kos majlis perkahwinan. Apa yang lebih membimbangkan ialah kos kehidupan selepas berkahwin. Ramai anak muda berfikir tentang deposit rumah, ansuran kenderaan, pinjaman pendidikan, kos membesarkan anak dan simpanan kecemasan.
“Pada masa sama, mereka masih mahu mengekalkan gaya hidup seperti sebelum berkahwin. Semua ini membuatkan mereka berasa belum cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami atau isteri,” katanya. – UTUSAN










