KUANTAN: KotaSAS Sdn. Bhd., yang merupakan anak syarikat milik penuh Tanah Makmur Berhad (TMB) dan Maxis Berhad (Maxis) hari ini mengumumkan kerjasama strategik bagi mempercepatkan pembangunan KotaSAS sebagai bandar pintar utama di negeri ini.
Menerusi pembangunan berfasa dalam tempoh sedekad akan datang, KotaSAS di kedudukan strategik untuk memanfaatkan pembangunan infrastruktur utama di rantau ini, termasuk sebagai hab ekonomi penting yang disepadukan dengan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMB, Datuk Shahrul Nizam Abdul Aziz berkata, KotaSAS dibangunkan sebagai bandar pintar bersepadu untuk menyokong pertumbuhan Pahang.
“Antara pembangunan perintis di Pahang yang mengetengahkan konsep gaya hidup pintar, KotaSAS mencerminkan komitmen kami untuk membina komuniti moden.
“Dengan Maxis sebagai rakan strategik bagi kesalinghubungan dan penyelesaian digital, kami yakin dapat mempercepatkan pelaksanaan visi ini serta menetapkan penanda aras baharu bagi gaya hidup pintar dan mampan di rantau ini,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara TMB dan Maxis di KotaSAS di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis berkata, Goh Seow Eng berkata, TMB mempunyai visi yang jelas untuk KotaSAS dan Maxis berbesar hati dipilih sebagai rakan strategik bagi kesalinghubungan dan penyelesaian digital untuk merealisasikan pelan induk tersebut.
“Memandangkan ketersambungan kini menjadi keperluan asas bagi komuniti dan perniagaan, kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk mempercepatkan transformasi digital Pahang, sekali gus menyokong pertumbuhan berterusan Wilayah Ekonomi Pantai Timur selaras dengan agenda digital Malaysia,” katanya.
Kerjasama itu selaras peranan Maxis sebagai rakan telekomunikasi pilihan bagi projek ECRL.
Dengan menyediakan kesalinghubungan bagi KotaSAS dan ECRL, inisiatif tersebut akan mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai koridor strategik yang menghubungkan perniagaan, komuniti dan peluang pertumbuhan masa hadapan merentasi Pantai Timur serta Pantai Barat. – UTUSAN










