PN optimis menang satu pertiga kerusi, bentuk kerajaan dengan BN

PN optimis menang satu pertiga kerusi, bentuk kerajaan dengan BN

HAMZAH Zainudin ketika berucap semasa Ceramah Mega Birukan Seremban di Sikamat, Seremban malam tadi-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) optimis parti itu dapat menyumbang jumlah satu pertiga daripada keseluruhan kerusi bakal dimenangi hasil persefahaman dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan Negeri Sembilan.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah itu mengambil kira nisbah bilangan kerusi yang ditandingi BN dan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini.

“Kita lihat hari ini, 25 kerusi BN bertanding dan 11 kerusi lagi PN bertanding, nisbahnya dua pertiga daripada BN dan satu pertiga daripada PN.

“Jika nisbahnya itu dapat diteruskan, kemenangan juga akan jadi yang sama nisbahnya iaitu jika 21 kerusi dimenangi, ia satu pertiga daripada 21 (kerusi dimenangi PN), kalau 24 satu pertiga daripada 24 kerusi,”katanya kepada pemberita selepas hadir pada Ceramah Mega Birukan Seremban di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara itu, Hamzah yang merupakan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) berkata, soal siapakah calon Menteri Besar yang akan ditampilkan hanya dibincangkan di peringkat BN.

“Kami di peringkat PN telah menyerahkannya kepada BN dan kami telah maklumkan seperti Tok Guru (Abdul Hadi) punya ucapan tadi, kami serahkan kepada BN, itu telah mendapat persetujuan semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, persefahaman yang dibentuk di antara BN dan PN mempunyai agenda besar iaitu untuk membangunkan negara dan demi kepentingan rakyat.

“Semua pemimpin-pemimpin parti-parti besar ini seperti UMNO dan Pas juga parti-parti komponen BN dan PN untuk duduk dan memikirkan bahawa tanggungjawab kita sebagai ahli politik adalah untuk rakyat bukannya untuk individu tertentu.

“Oleh sebab itu kita bergabung semata-mata untuk agenda yang lebih besar, untuk membangunkan negara , kepentingan rakyat, bagi masa depan anak-anak kita,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN