KUALA KRAI: Perkahwinan yang tidak didaftarkan dan sikap ibu bapa yang menangguhkan urusan antara menjadi punca utama berlakunya permohonan pendaftaran kelahiran lewat di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Badrul Hisham Alias berkata, sepanjang tempoh Januari hingga 15 Julai lalu sebanyak 4,598 permohonan pendaftaran kelahiran lewat telah direkodkan di seluruh negara.
Katanya, kebanyakan kes itu melibatkan penduduk di kawasan pedalaman atau mereka yang kurang peka terhadap kepentingan mendaftarkan kelahiran dalam tempoh yang ditetapkan.
“Setiap permohonan akan dinilai berdasarkan fakta, dokumen sokongan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kelewatan mendaftarkan kelahiran tidak bermaksud sesuatu permohonan akan diluluskan secara automatik,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sijil kelahiran kepada lapan anak Zapni Abd. Wahab, 53, menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Kampung Johal di sini hari ini.
Badrul Hisham memberitahu, JPN tidak mempunyai kes tertunggak kerana mesyuarat khas diadakan setiap bulan bagi mempercepatkan penyelesaian semua permohonan, termasuk rayuan yang dirujuk ke Ibu Pejabat JPN.
Katanya, pendaftaran kelahiran amat penting bagi memastikan setiap individu yang layak menikmati hak sebagai warganegara termasuk akses kepada kemudahan kesihatan, pendidikan dan pelbagai perkhidmatan kerajaan.
“Saya menggesa ibu bapa atau penjaga supaya mendaftarkan kelahiran anak dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan pelbagai kesulitan pada masa hadapan.
“Setiap permohonan akan diproses secara teliti, adil dan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya.-UTUSAN










