PETALING JAYA: Peniaga Medan Selera Seksyen 51A atau Medan Selera 223 di sini mendesak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil tindakan sepatutnya dalam menangani isu banjir kilat yang berulang.
Mereka turut menuntut jawapan berhubung permohonan pengecualian sewaan premis sehingga Disember ini.
Tuntutan itu dibuat berdasarkan keresahan para peniaga yang terpaksa berdepan kerugian berulang kali manakala permohonan pengecualian sewa dikemukakan menerusi kumpulan WhatsApp rasmi bersama MBPJ.
Pembantu Ketua Persatuan Peniaga Medan Selera 223, Jamaliah Yusoff berkata, MBPJ perlu turun padang mencari punca sebenar limpahan air dan bukannya sekadar menyediakan tindakan jangka pendek setiap kali banjir berlaku.
“Peniaga menuntut MBPJ menyelesaikan masalah banjir ini dari puncanya tanpa perlu merobohkan kedai atau membuat pengubahsuaian yang mengambil masa lama sehingga mengganggu operasi kami.
“Struktur kedai kami tidak berubah apa-apa dari dahulu. Justeru, mesti ada punca daripada kawasan pembinaan di sekeliling atau sistem perparitan yang sudah berubah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Isu banjir kilat di Medan Selera 223 bukanlah perkara baharu apabila lokasi tumpuan itu telah lebih lima kali berdepan insiden limpahan air deras berulang. Kejadian paling kritikal berlaku pada April lalu apabila dilanda banjir tiga hari berturut-turut.
Mengulas mengenai kebajikan peniaga, Jamaliah berkata, setakat ini bantuan hanya melibatkan kerja-kerja pembersihan kedai dan pengecualian sewa selama dua bulan.
“Pengecualian sewaan dua bulan yang diterima adalah bagi kejadian banjir tahun ini iaitu untuk bulan Mei dan Jun. Namun, bagi bulan-bulan seterusnya sehingga Disember belum ada jawapan.
“Peniaga tidak boleh menutup kedai terlalu lama kerana pendapatan harian akan terjejas. Kebiasaannya jika hari ini banjir, esok ada yang sudah mula berniaga semula selepas mencuci kedai,” katanya.
Jamaliah memaklumkan, pemasangan siren amaran banjir oleh MBPJ sekitar Mei lalu sekadar penyelesaian awal yang hanya berfungsi meminta peniaga keluar mengosongkan premis.
Katanya, cadangan untuk berpindah tapak juga sukar diterima memandangkan majoriti peniaga sudah beroperasi sejak puluhan tahun dan mempunyai pelanggan tetap dalam kalangan pekerja kilang serta pejabat berhampiran. – UTUSAN










