Pengemis ‘banjiri’ Bukit Bintang, cemar imej ibu negara

Pengemis ‘banjiri’ Bukit Bintang, cemar imej ibu negara

SEBAHAGIAN peminta sedekah yang berkumpul di kawasan kaki lima di beberapa premis tumpuan pengunjung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kawasan Bukit Bintang yang terkenal sebagai segi tiga emas ibu negara kini berdepan isu kehadiran peminta sedekah dan gelandangan yang semakin membimbangkan.

Utusan Malaysia melakukan tinjauan selama dua hari berturut-turut pada hujung minggu lalu selepas isu berkenaan turut menjadi topik perbualan di media sosial.

Tinjauan pada hari Sabtu lalu mendapati sekurang-kurangnya lapan orang pengemis selain gelandangan berada di kawasan berkenaan dalam satu-satu masa.

Sebahagian daripada mereka dipercayai warga asing termasuk daripada etnik Rohingya bukan sahaja duduk di kaki lima malah berani menghampiri orang ramai termasuk pelancong asing bagi meminta wang.

Kumpulan itu juga turut menjadikan kawasan tumpuan orang ramai seperti di hadapan sebuah restoran terkenal, bank dan pusat beli belah sebagai tempat mereka mengemis.

KANAK-kanak warga asing disyaki daripada etnik Rohingya yang berani menghampiri orang ramai dan pelancong asing untuk meminta wang. – UTUSAN/FAEN NABILAH FAIDZUL NIZAM

Tinjauan pada keesokkan harinya pula mendapati, kumpulan peminta sedekah yang ditemukan sebelum itu telah tiada namun digantikan pula dengan ‘wajah’ yang lain.

Ia termasuklah kehadiran sekumpulan wanita dipercayai berasal dari Asia Barat bersama kanak-kanak kecil yang turut kelihatan melakukan aktiviti berkenaan.

Keadaan itu bukan sahaja menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan orang awam malah mencetuskan persoalan mengenai keberkesanan penguatkuasaan pihak berkuasa dalam menangani isu berkenaan.

Lebih membimbangkan, situasi tersebut dilihat mampu menjejaskan imej negara memandangkan Bukit Bintang merupakan antara destinasi utama yang sering dikunjungi pelancong tempatan dan antarabangsa.

Seorang pekerja restoran berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Alif, 19, berkata, kumpulan peminta sedekah itu lazimnya memenuhi kawasan berkenaan terutama pada hujung minggu.

“Kebanyakan mereka bukan gelandangan yang menetap di sini. Kami sendiri tidak tahu dari mana mereka datang namun difahamkan mereka sering berpindah-randah dari satu kawasan ke kawasan lain untuk meminta sedekah.

“Kehadiran mereka memang merimaskan. Malah terdapat sekumpulan peminta sedekah warga asing daripada etnik Rohingya yang membawa anak kecil dan bertindak mendesak serta memaksa pengunjung secara keterlaluan untuk mendapatkan wang.

“Bagi gelandangan pula, mereka memang sering menjadikan kawasan di hadapan sebuah bank di Bukit Bintang sebagai tempat berteduh. Keadaan ini memalukan kerana pelancong asing yang datang seolah-olah melihat Malaysia dipenuhi golongan seperti ini,” katanya.

GOLONGAN gelandangan turut menjadikan kawasan kaki lima di Bukit Bintang. Kuala Lumpur sebagai tempat tidur mereka. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK

Seorang pelukis jalanan, Pak Nik, 54, pula percaya kehadiran ramai peminta sedekah itu mungkin didalangi sindiket.

“Mereka ini memang mencurigakan. Mungkin ada sindiket di sebalik kegiatan ini. Mereka bukan gelandangan kerana tidak tidur di kawasan ini sebaliknya hanya datang untuk meminta sedekah sebelum beredar,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Farhan, 27, berkata, dia mengesyaki aktiviti ‘menagih simpati’ terutamanya oleh warga asing merupakan ‘lakonan’ untuk mendapatkan duit dengan cara mudah.

“Saya sendiri nampak wanita-wanita Arab ini sebenarnya berpakaian sangat kemas dan bersih tetapi sengaja menggunakan anak-anak kecil sebagai umpan meraih simpati,” katanya.

Hasil tinjauan sama turut menemukan beberapa beg yang dipenuhi bekas makanan kosong dipercayai digunakan sebagai bekas untuk meminta sedekah.

Beg-beg berkenaan disembunyikan di tepi kaki lima premis perniagaan dengan ditutup menggunakan kotak-kotak terbuang.

Pemerhatian turut mengesan taktik seorang wanita warga emas yang dipercayai menyamar bagi meraih simpati orang ramai.

Wanita terbabit pada mulanya tidak memakai tudung namun kemudiannya menyarungkan tudung kepala sebaik sahaja menyedari kehadiran lebih ramai pengunjung di kawasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN