Pemandu Toyota Vios nafi kereta rosak

Pemandu Toyota Vios nafi kereta rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pemandu kereta jenis Toyota Vios yang terlibat dalam nahas konvoi Yamaha RX-Z di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) sehingga meragut empat nyawa menafikan dakwaan keretanya rosak ketika kejadian tersebut.

Menerusi hantaran di Threads, Muhammad Irfan Aziz, 25, berkata, ketika kejadian, dia yang memandu kereta tersebut dan bukan kakaknya seperti tular dalam laman media sosial.

Katanya, sebelum kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke Terengganu selepas melawat ibu saudara yang sedang menerima rawatan akibat kanser tahap empat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

“Ketika melintasi Plaza Tol Kuantan, saya nampak sekumpulan penunggang motosikal berkumpul berhampiran plaza tol berkenaan.

“Saya memandu di lorong kanan dengan kelajuan sekitar 110 hingga 120 kilometer sejam manakala kereta berada dalam keadaan baik, bukan rosak seperti yang didakwa sesetengah pihak,” katanya dalam hantaran tersebut.

Menurut Muhammad Irfan, dia menyedari sebuah motosikal bergerak laju dari arah belakang sebelum yang lain tiba dengan kelajuan tinggi sehingga menyebabkan pandangannya silau akibat cahaya lampu kenderaan terbabit.

“Selang beberapa saat, belakang kereta dirempuh hingga saya terpaksa mengawal kenderaan dan mengalihkannya ke lorong kecemasan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk. Selepas itu berlaku kemalangan berantai antara motosikal yang berlanggar sesama sendiri,” katanya.

Menurutnya, selepas memberhentikan kereta, dia sempat merakam situasi di lokasi kejadian menggunakan telefon bimbit manakala adiknya pada ketika itu sedang meraung kesakitan akibat kecederaan yang dialami.

Katanya, video yang tular memaparkan kakaknya mengeluarkan kata-kata beremosi dirakam ketika mereka belum mengetahui ada mangsa meninggal dunia.

“Kami memahami perasaan kehilangan kerana ibu meninggal dunia pada November tahun lalu manakala bapa meninggal dunia tujuh tahun lalu, namun ketika itu emosi kami terganggu kerana melihat adik kesakitan,” katanya.

Dakwanya lagi, adiknya yang cedera terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam sementara memberi laluan kepada pasukan perubatan menyelamatkan mangsa lain terlebih dahulu.

Menurutnya, laporan polis berhubung kejadian tersebut sudah pun dibuat berikutan pelbagai maklumat palsu tentang insiden tersebut tersebar khususnya dalam media sosial.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan dibuat pemandu tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN