KUALA LUMPUR: Malaysia diberikan tempoh dua tahun untuk memperkenalkan undang-undang dan mekanisme menghalang kemasukan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa dari negara lain.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia merupakan antara ketetapan dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, tempoh itu bermula selepas perjanjian itu berkuat kuasa iaitu apabila selesainya proses ratifikasi oleh kedua-dua negara.
“Dua tahun itu bukan bermula serta-merta kerana perjanjian sudah ditandatangani.
“Selepas elemen berkaitan diratifikasi, kita diberikan tempoh dua tahun untuk memperbaiki undang-undang yang belum ada,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-50 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) 2026 di sini semalam.
Menurut Johari, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) telah dimaklumkan mengenai keperluan membuat pindaan atau memperkenalkan peruntukan baharu berkaitan buruh paksa.
Katanya, Malaysia sudah mempunyai undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang menggaji pekerja asing tanpa permit.
Namun, beliau berkata, Malaysia masih belum mempunyai mekanisme khusus bagi menyekat kemasukan barangan atau bahan mentah dari luar negara yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Ujarnya, keadaan itu boleh menyebabkan bahan atau komponen berkenaan diproses di Malaysia sebelum dieksport sebagai produk keluaran negara.
“Jika sebahagian komponen itu didapati melibatkan buruh paksa, produk Malaysia turut terkesan kerana kita belum mempunyai undang-undang dan mekanisme untuk menyekat kemasukannya,” katanya.
Mengulas tarif 10 peratus yang dikenakan AS terhadap barangan Malaysia, Johari berkata, kadar itu lebih rendah berbanding 12.5 peratus yang dikenakan terhadap beberapa ekonomi lain.
“Kadar tersebut dikenakan sementara Malaysia memperkenalkan sekatan dan mekanisme penguatkuasaan berkaitan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
“Malaysia menerusi ART telah memberikan komitmen untuk memperkenalkan langkah berkenaan selepas perjanjian itu dimuktamadkan dan berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN










