MUKADIMAH
BERMULA sebagai Pegawai Seranta Felda di Jabatan Perdana Menteri sebelum menyertai politik penyandang dan juga calon Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, FAUZIAH MISRI sekali lagi menggalas amanah untuk berkhidmat kepada rakyat buat penggal kedua.
Dengan penampilan lebih bertenaga dan gerak kerja agresif, beliau tekad memastikan kebajikan rakyat serta pembangunan kawasan DUN Penawar terus terjaga.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah bagi mendapatkan perspektif dan hala tuju perjuangannya.
UTUSAN: Masuk pusingan kedua berkempen. Bagaimana Yang Berhormat (YB) melihat momentum sokongan setakat ini?
FAUZIAH: Alhamdulillah, sokongan rakyat semakin positif. Berdasarkan sambutan dalam program-program, ziarah rumah ke rumah dan maklum balas jentera di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM), semakin ramai pengundi menunjukkan keyakinan terhadap perjuangan kita.
Yang paling penting, jumlah penyokong juga semakin meningkat berbanding minggu pertama dan ini memberi petanda yang baik. Namun, kita tidak boleh terlalu selesa kerana keputusan sebenar hanya akan ditentukan pada hari mengundi. Sebab itu saya berharap semua penyokong terus bekerja keras mendekati setiap pengundi sehingga 11 Julai nanti.
Setakat ini ramai yang sudah mengenali saya. Namun masih ada beberapa isu yang memerlukan penjelasan dan ada juga perkara yang belum selesai yang dibangkitkan oleh rakyat.
Saya mengambil peluang ini untuk mendapatkan maklum balas, cadangan dan pandangan daripada pengundi supaya segala perkara yang disuarakan dapat saya bawa serta perjuangkan sekiranya diberikan mandat sekali lagi.
Apakah yang mahu dilaksanakan YB di kawasan DUN Penawar sekiranya diberi mandat sekali lagi?
Insya Allah saya cuba sebaik mungkin untuk sentiasa turun padang dan mendengar sendiri masalah masyarakat dengan membawa setiap isu kepada pihak yang berkaitan sehingga bertemu jalan penyelesaian.
Kalau dalam DUN Penawar ini, pertamanya memang sudah pastinya masalah perumahan generasi kedua Felda. Keduanya adalah tempat pelancongan seperti Desaru khususnya.
Di samping itu sekiranya ada masalah berkaitan infrastruktur atau kebajikan, mereka boleh mengutarakan isu ini kepada saya sendiri atau pegawai saya. Paling penting sudah pasti saya mahu menambah baik perkhidmatan saya berbanding sebelum ini terutama dalam aspek memperkukuh peluang ekonomi, membantu golongan belia, wanita dan warga emas.
Saya tidak mahu berjanji perkara yang di luar kemampuan, tetapi saya berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh, amanah dan sentiasa bersama rakyat demi kemajuan kawasan DUN Penawar.
Bagaimana pendekatan YB dalam mendekat pengundi terutama golongan muda di kawasan ini?
Pengundi muda ada pendekatan tersendiri. Mereka mahukan kestabilan, pendidikan dan peluang kerjaya serta kos sara hidup. Malah mereka mahukan pemimpin yang terbuka mendengar pandangan mereka.
Saya telah menjelaskan kepada anak-anak muda di DUN Penawar mengenai manifesto BN, khususnya berkaitan peluang pekerjaan. Dalam manifesto tersebut, BN komited mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk Anak Johor.
Di samping itu, anak muda juga perlu diberikan ruang juga diberikan ruang lebih luas agar suara mereka benar-benar didengari. Anak muda hari ini mahukan pemimpin yang senang berurusan tanpa banyak karenah birokrasi dan sanggup bekerja, bukan sekadar pandai berjanji.
Bagaimana YB mahu dikenali penduduk di DUN Penawar?
Hubungan saya dengan penduduk di DUN Penawar bukan sekadar wakil rakyat. Sebaliknya peranan saya adakalanya boleh menjadi ‘ibu’,’kakak’ atau ‘mak cik’ yang sentiasa ada untuk mendengar masalah mereka. Saya tidak kisah mereka mahu panggil saya ‘Kak Gee’ atau ‘YB Sayur’. Yang penting hubungan saya dengan mereka ada sentuhan jiwa serta khidmat setulus hati .
Saya juga mahu penduduk tahu bahawa Fauziah di sisi mereka untuk membantu sebaik mungkin menyelesaikan isu-isu berkaitan. Malah, dalam dunia serba teknologi ini, pelbagai pendekatan untuk saya berkomunikasi dengan penduduk. Baik menerusi Facebook atau apa sahaja saluran. Yang penting maklumat dan matlamat sampai.
Sebagai salah seorang calon wanita. Adakah ia satu cabaran besar dan berat terutama pencalonan kali kedua?
Tidak. Ada lagi calon wanita yang lain. Pada saya cabaran terbesar ialah untuk memastikan khdimat sebagai wakil rakyat diberikan sepenuhnya sampai cukup tempoh penggal sepenuhnya. – UTUSAN










