SEREMBAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas dijangka panas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Ia berikutan terdapat khabar angin bahawa bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin akan diletakkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk bersaing di kerusi berkenaan.
Menurut beberapa sumber, pencalonan Khairy yang lebih dikenali sebagai KJ untuk kerusi berkenaan dikatakan mampu meningkatkan peluang kepada BN memenangi negeri ini dalam PRN kali ini.
Kata sumber tersebut, sebagai ahli politik yang berasal dari negeri ini, bekas Ketua Pemuda UMNO itu mampu bersama-sama menggalas matlamat BN serta UMNO untuk kembali menguasai negeri ini selepas PRN kelak.
“Kita tunggu pengumuman rasmi calon BN untuk PRN ke-16 pada Rabu ini. Semuanya akan terjawab pada hari tersebut,” kata sumber semalam.
Persoalan mengenai kedudukan Khairy dalam politik mula tersebar selepas beliau diterima menyertai semula UMNO selepas dipecat tiga tahun lalu.
Pada PRN Johor baru-baru ini, beliau juga dilihat giat berkempen untuk calon-calon BN.
Bagaimanapun beliau dilaporkan berkata, lebih selesa menjadi jentera kempen berbanding bertanding sebagai calon pada PRN Negeri Sembilan memandangkan dia baru sahaja menyertai semula UMNO.
Namun katanya, perkara itu adalah tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan parti.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa ketika dihubungi menafikan perkara itu dan menganggap ia hanyalah spekulasi.-UTUSAN.










