Ketua Polis Kelantan 'perang' pegawai, anggota ambil rasuah - Utusan Malaysia

Ketua Polis Kelantan ‘perang’ pegawai, anggota ambil rasuah

MOHD. Yusoff Mamat menegaskan beliau sama sekali tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggota terlibat dengan rasuah semasa sidang media selepas perhimpunan bulan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengisytiharkan perang terhadap pegawai dan anggota di negeri ini yang mengambil rasuah.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, usaha membanteras rasuah menjadi agenda utama dalam setiap mesyuarat dan perhimpunan bersama warga kerja sejak menerajui kempimpinan pasukan.

“Sejak hari pertama saya datang ke sini, saya sentiasa tekankan soal integriti dan rasuah. Apabila masih ada lagi kes berlaku, pada saya tiada kompromi.

“Saya sudah berkali-kali memberi peringatan dalam mesyuarat dan perhimpunan. Saya juga sudah beritahu ketua-ketua jabatan bahawa sekarang adalah masa untuk bertindak,” katanya selepas merasmikan perhimpunan bulan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) yang memperoleh perintah tahanan reman selama tujuh hari ke atas seorang ketua balai polis berpangkat sarjan mejar bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah berjumlah RM500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.

Mohd. Yusoff memberitahu, walaupun kes disifatkan sebagai terpencil namun perbuatan itu tetap mencemarkan imej pasukan dan tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, sebelum ini polis turut mengambil langkah pencegahan termasuk mencadangkan pertukaran selain turut mengeluarkan surat teguran sebagai usaha mengelakkan salah laku daripada terus berlaku.

“Tetapi sekarang sudah tiada lagi peluang. Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang terlibat,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama tujuh hari ke atas seorang ketua balai polis berpangkat sarjan mejar bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah berjumlah RM500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.

Perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah yang bermula hari ini terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN