KOTA BHARU: Semua 56 ketua balai polis di seluruh negeri ini perlu menangkap sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari menerusi pelan strategik baharu membanteras dadah yang mula dilaksanakan sejak 15 Julai lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, langkah itu bagi memastikan usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah menjadi lebih berkesan melalui kaedah secara berfokus.
Katanya, tindakan tatatertib akan diambil terhadap mana-mana anggota yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Selama ini balai seolah-olah hanya menunggu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik datang menjalankan operasi.
“Kali ini saya, mahu selepas ini ketua-ketua balai sendiri memainkan peranan. Setiap anggota balai mempunyai kawasan sektor masing-masing. Mereka perlu tahu jumlah penduduk, aktiviti setempat, perniagaan yang dijalankan termasuk berapa ramai penagih di kawasan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, semalam.
Mohd. Yusoff memberitahu, jika ketua balai sendiri tidak mengetahui situasi dan keada an kawasan tanggunggjawab ia bermakna pegawai itu tidak menjalankan tugas.
“Pelan strategik kali ini kita menetapkan pembahagian tugas yang lebih jelas apabila ketua balai hanya memberi tumpuan kepada penagih dadah.
“Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah pula memberi fokus kepada pemburuan pengedar manakala Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri menyelaras tindakan terhadap sindiket yang lebih besar,” ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, sebelum ini semua peringkat pasukan mengejar sasaran tangkapan penagih sehingga menjejaskan risikan terhadap rangkaian pengedaran dadah.
“Dulu semua merangkum sekali. Apabila mengejar sasaran tangkapan harian, pegawai di daerah tidak sempat membuat risikan untuk menangkap tokan dan pengedar.
“Jadi sekarang kita asingkan tanggungjawab supaya mereka ada masa membuat risikan dan kita boleh kerat akar umbi kegiatan ini dengan menumpaskan pengedar, tokan dan pembekal,” katanya.
Mohd. Yusoff berkata, pelaksanaan pelan strategik baharu itu akan dinilai selepas tempoh tiga bulan menerusi proses semakan dan bedah siasat bagi melihat keberkesanannya. – UTUSAN










