PETALING JAYA: Peningkatan kadar bantuan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disambut baik pelbagai lapisan masyarakat yang menyifatkan langkah tersebut tepat pada waktunya untuk meringankan beban kos sara hidup.
Seorang mahasiswa yang mahu dikenali sebagai Syamimi menganggap peningkatan kadar bantuan tersebut amat melegakan perbelanjaan harian kendiri.
“Sebagai pelajar yang menyewa rumah di luar kampus, perbelanjaan barang dapur agak mencabar dan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membeli kelengkapan dapur sendiri tanpa perlu kerap meminta bantuan kewangan daripada ibu bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara tersebut ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Senawang, Rembau.
Anwar menjelaskan, kadar baharu bantuan kewangan bersasar itu akan diselaraskan dengan pelaksanaan di Negeri Sembilan bagi memastikan pengagihan yang lebih seimbang dan menyeluruh.
Turut berkongsi rasa syukur, seorang belia yang menjalankan perniagaan secara sambilan, Farhana, memberitahu bahawa kenaikan bantuan tersebut memberi kemudahan untuk urusan perniagaannya.
“Kenaikan bantuan ini sekurang-kurangnya memberi sedikit kemudahan untuk saya membeli barangan keperluan perniagaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pekerja kilang, Nabil, meluahkan rasa lega kerana penambahbaikan kadar SARA membantu mengurangkan kebimbangan beliau dalam menguruskan perbelanjaan keluarga.
“Sekurang-kurangnya bila kadar bantuan dinaikkan, saya tak perlu pening kepala fikirkan bajet ketat untuk stok makanan bulanan kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang warga emas, Ismail, mengakui bantuan SARA secara berterusan amat bermakna buat dirinya untuk membeli pelbagai barangan asas peribadi.
“Bantuan SARA ini memang sangat membantu saya membeli barang keperluan harian seperti biskut, sabun dan minyak masak,” katanya.
Menerusi tinjauan di platform media sosial, seorang pengguna Facebook, Zaini Mohd, turut menyifatkan penambahan kadar bantuan berkenaan amat membantu memberi ruang bernafas kepada isi rumah.
“Suntikan bantuan ini sedikit sebanyak memberi ruang bernafas kepada keluarga yang memerlukan untuk menampung pembelian barangan dapur dan barang asas lain,” katanya.
Secara keseluruhannya, masyarakat menyambut baik inisiatif prihatin ini dan berharap penyampaian bantuan kewangan dapat terus ditambah baik secara berterusan demi kesejahteraan rakyat. – UTUSAN










