Harga durian menjunam, dijual RM1 sekilogram

Harga durian menjunam, dijual RM1 sekilogram

LAMBAKANbekalan berpunca daripada pertambahan kawasan tanaman termasuk varieti premium sejak beberapa tahun kebelakangan ini.-UTUSAN/AMIR KHALID.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Durian yang se­kian lama dianggap sebagai ikon pertanian Malaysia kerana nilai komersialnya yang tinggi kini berdepan lambakan bekalan sehingga menyebabkan harganya merudum malah ada varieti dijual serendah RM1 sekilogram.

Kejatuhan harga itu turut me­libatkan durian premium seperti Musang King dan Black Thorn yang menyusut sehingga kira-kira 50 peratus berbanding harga sekitar RM28 hingga RM45 sekilogram sebelum ini.

Ketika ini, Musang King boleh di­peroleh pada harga sekitar RM10 sekilogram manakala Black Thorn dijual sekitar RM25 sekilogram.

Menurut peniaga durian, lambakan bekalan berpunca daripada pertambahan kawasan tanaman varieti premium sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Situasi tersebut ditambah dengan musim pengeluaran di negeri pengeluar utama seperti Pahang, Johor dan Pulau Pinang yang berlaku secara serentak.

Harga durian yang dijual pekebun kepada peniaga di daerah ini menjunam kepada RM1 sekilogram ekoran berlaku lambakan raja buah itu, ketika ini.

Salah seorang pemilik kebun durian di Baling, Kedah, Muhamad Zaidi Hussain, 47, berkata, penurunan harga itu terpaksa dilakukan bagi mengelak risiko raja buah itu rosak sekiranya tidak terjual.

Menurutnya, buah durian gred A yang dijual kepada orang ramai pula hanya berharga RM2 sekilogram manakala buah yang dijual ke kilang lebih murah iaitu 70 sen sekilogram.

“Memang terlalu banyak ha­sil buah durian pada kali ini sehingga harganya menjunam RM1 sekilogram, ada juga buah yang dijual kepada kilang bagi mengelak lambakan atau buah rosak begitu sahaja.

“Di kebun saya lebih 1,000 pokok durian menghasilkan buah sehingga lebih 200 biji bagi setiap pokok pada musim ini, tidak termasuk pokok yang dipajak pekebun lain kepada saya,” katanya.

Tambahnya, dia turut menjadi peraih durian daripada dusun penduduk kampung dan menjualnya secara terus kepada orang ramai disebabkan keba­nyakan peniaga tidak berminat menjualnya kerana harga yang terlalu rendah.

“Lagipun, kualiti buah tahun ini sangat baik, boleh dikatakan lebih 60 peratus buah elok dan itupun harganya hanya RM2 berbanding tahun lepas sekitar RM5 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Kangar, Perlis pula mendapati harga durian premium seperti Musang King dan Black Thorn jatuh mendadak sehingga 50 peratus atau lebih.

Durian jenis Musang King dijual sekitar RM10 hingga RM15 sekilogram, manakala Black Thorn pula antara RM25 hingga RM28 sekilogram.

Ia jauh berbeza berbanding tahun lalu di mana durian jenis Musang King gred A dijual sekitar RM28 sekilogram manakala Duri Hitam pula mencecah RM45 sekilogram.

Harga durian kampung pula kebanyakkan dijual secara longgok pada harga RM10 hingga RM50 bagi 10 kilogram mengikut jenis gred buah berkenaan.

Peniaga durian, Muhamad Hafiz Yussof, 34, berkata, harga durian premium musim ini jatuh disebabkan oleh lambakan buah berkenaan.

Menurutnya, terdapat beberapa faktor menyebabkan lambakan durian tersebut antaranya apabila semakin ramai menanam durian jenis varieti premium dan negeri-negeri pengeluar utama seperti Pulau Pinang, Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu mengeluarkan hasil serentak.

“Jika isu lambakan durian berkenaan masih berterusan, harga durian varieti premium seperti Musang King tidak mustahil boleh turun sehingga RM10 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, pemilik ladang durian di Kubang Kerian, Kelantan, Ahmed Maher Safiain mendakwa, tindakan China mengetatkan standard eksport durian Musang King ke negara berkenaan menjadi punca kepada lambakan raja buah ketika ini.

Selain itu, pengeluaran hasil oleh ladang-ladang baharu yang diusahakan sejak lima tahun lalu turut menyumbang kepada perkara tersebut.

“China sekarang menetapkan standard sangat ketat. Buah mesti benar-benar premium daripada segi bentuk, saiz dan kualiti isi. Lambakan durian kali ini merupakan antara yang paling teruk pernah berlaku sepanjang lebih tujuh tahun saya berkecimpung dalam industri ini.

“Ladang yang diusahakan sekitar tahun 2020 dan 2021 kini memasuki tempoh matang serta mula mengeluarkan hasil secara besar-besaran.

“Tempoh matang pokok durian untuk berbuah sekitar empat hingga lima tahun. Jadi pokok yang ditanam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini mula mengeluarkan hasil,” katanya.

Kejatuhan harga durian juga berlaku di Jerantut, Pahang de­ngan golongan pekebun dan peraih memberitahu pendapatan mereka merosot teruk.

Peraih durian di Kampung Damak, Zulkifly Mahmud, 58, berkata, keuntungan yang diperoleh hanya sekitar RM2 hingga RM5 bagi setiap jualan kerana persaingan sengit di seluruh daerah.

“Harga belian daripada pekebun untuk Musang King gred C dan D hanya RM5 hingga RM6 sekilogram, sedangkan saya menjualnya sekitar RM8 sekilogram. Musim lalu harga gred sama mencecah RM20 hingga RM25 sekilogram manakala gred terbaik melebihi RM50,” katanya.

Peniaga durian di Lumut, Perak pula menjangkakan harga buah tersebut akan terus menurun jika lambakan berterusan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Peniaga durian, Nadia Mohd. Asri, 40, berkata, lambakan berlaku kerana hampir semua daerah di Perak sedang melalui musim buah durian yang lebat ditambah dengan kemasukan durian dari Kelantan, Johor dan Pahang.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN