KOTA BHARU: Akademi Cemerlang TeknoVocasX (ACTVX) menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir bukan sahaja belajar di Kelantan malah terus berkhidmat di sini bagi memenuhi keperluan industri tempatan.
Pengarah Projek ACTVX Kelantan Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, ia bukan sekadar menyediakan peluang pendidikan dan latihan kemahiran, malah bertujuan memastikan bakat anak-anak Kelantan terus kekal menabur bakti sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Katanya, masih ramai anak Kelantan terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk melanjutkan pengajian dan mencari pekerjaan sedangkan kemudahan latihan bertaraf tinggi boleh disediakan di sini.
“Saya mahu anak Kelantan belajar di Kelantan, bekerja di Kelantan dan kembali berkhidmat untuk negeri sendiri. Apabila mereka berjaya, mereka bukan sahaja membantu diri serta keluarga, malah turut menyumbang kepada pembangunan Kelantan.
“Selama ini kebanyakan anak Kelantan belajar di luar. Jadi, kenapa perlu belajar di luar jika kita mampu menyediakan infrastruktur pendidikan yang berkualiti di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis peluncuran ACTVX Kelantan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan di sini hari ini.
Ahmad Zaharuddin memberitahu, institusi itu menawarkan laluan pantas kepada pelajar melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila lulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berpeluang menyambung pengajian sehingga ke peringkat diploma, ijazah dan lebih tinggi kerana kelayakan tersebut diiktiraf kerajaan.
Katanya, pengambilan pertama dijangka bermula Oktober ini dengan menawarkan kursus dalam bidang elektrikal dan automotif.
“Tempoh pengajian peringkat sijil ialah selama sembilan bulan dan pelajar turut ditawarkan pakej peluang pekerjaan hasil kerjasama dengan rakan industri sebaik menamatkan pengajian.
“Kita bukan sahaja menawarkan pengajian, malah menyediakan laluan kepada pekerjaan. Selain itu, pelajar juga berpeluang menerima bantuan pinjaman serta elaun bulanan sebelum memasuki alam pekerjaan,” ujarnya.
Ahmad Zaharuddin berkata, pihaknya menyasarkan pengambilan awal seramai 250 pelajar masing-masing dalam bidang automotif dan elektrikal dengan kampus pengajian berpusat di Padang Tembak, Pengkalan Chepa.
Katanya, ACTVX Kelantan turut memperkenalkan subjek elektif yang dibangunkan bersama Yayasan Islam Kelantan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat, sekali gus menjadi antara keunikan TVET yang ditawarkan di negeri itu.
“Sokongan kerajaan negeri memberi keyakinan kepada kami untuk menyediakan kemudahan pembelajaran bertaraf antarabangsa serta melahirkan tenaga kerja mahir yang dapat memenuhi keperluan industri di Kelantan,” katanya.-UTUSAN










