KOTA BHARU: Cubaan menyeludup 20.4 tan minyak masak peket bersubsidi ke negara Thailand berjaya digagalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melancarkan tiga operasi berasingan di Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tumpat semalam.
Dalam Ops Tiris Bersepadu 4.0 itu, KDPN Kelantan turut menahan tiga suspek bagi membantu siasatan berhubung rampasan barangan subsidi negara tersebut.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan Aswadi Jaafar berkata, serbuan pertama di Pasir Puteh itu membawa kepada rampasan 1,445 kilogram (kg) minyak masak selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Katanya, semasa ditahan suspek berusia 27 tahun gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen sah berkaitan pemilikan serta pengangkutan barang kawalan berkenaan.
“Sebuah lagi Perodua Alza yang cuba ditahan semasa serbuan di Pasir Puteh telah melarikan dari ke Pasir Mas sebelum terbabas lalu merempuh sebuah bangsal di Kampung Jakar, Banggol Che Dol (Pasir Mas).
“Bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri. Pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan menemukan 1,360 kg minyak masak peket bersubsidi,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di sini hari ini.
Aswadi memberitahu, pada pukul 10.45 malam tadi, pihaknya mematahkan cubaan menyeludup 17,680 kg selepas menahan sebuah lori di Kampung Telaga Bata, Chabang Empat, Tumpat.
Karanya, pemeriksaan lanjut telah menjumpai 1,040 kotak minyak masak peket satu kilogram yang diperoleh dari Melaka dan Pahang sebelum dibawa ke Kelantan.
“Pemandu lori bersama seorang kelindan tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati pemandu lori mengaku menerima upah RM500 untuk menghantar muatan berkenaan ke sebuah pangkalan haram berhampiran sempadan Tumpat.
“Suspek turut mendakwa ini adalah kali pertama dia melakukan kerja berkenaan dan hanya mengikut arahan individu yang mengupahnya,” katanya.
Aswadi berkata, semua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan usaha mengesan suspek yang melarikan diri masih diteruskan.-UTUSAN










