180 rakyat Malaysia ditahan jadi keldai dadah

180 rakyat Malaysia ditahan jadi keldai dadah

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 180 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki menjadi keldai dadah dalam tempoh tiga tahun sejak 2024 hingga April tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Hussein Omar Khan berkata, jumlah itu sekali gus mencerminkan sindiket antarabangsa masih berjaya memperdaya rakyat negara ini dengan pelbagai tawaran lumayan.

Katanya, kebanyakan mang­sa terpedaya dengan tawaran pekerjaan, ganjaran mudah atau tidak menyedari implikasi undang-undang berat di negara berkenaan.

“Sebanyak 84 tangkapan rakyat Malaysia dilakukan pada 2024 diikutI 99 orang ketika 2025 dan setakat April lalu iaitu 30 orang.

“Walaupun menunjukkan penurunan, angka itu masih membimbangkan kerana ma­sih wujud kes rakyat Malaysia menjadi keldai dadah di luar negara.

“Antara negara tangkapan ialah Thailand, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Hussein berkata, seramai 50 keldai dadah telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tahun 2025 sehingga April lalu.

Beliau menjelaskan, daripada jumlah tersebut, seramai 25 orang keldai dadah ditangkap melibatkan rakyat Malaysia dan warga asing.

“Daripada jumlah tangka­pan itu rakyat kita sendiri mencatat bilangan tertinggi juga iaitu seramai tujuh orang, diikuti Britain (5), Singapura (4), Perancis (3), Indonesia (2), masing-masing seorang warga Hong Kong, Thailand, Slovakia dan Ireland,” katanya.

Menurut Hussein, kebanyakan mangsa diperdaya untuk membawa barangan tertentu tanpa mengetahui kandungan sebenar, selain dadah disorok dalam bagasi, pakaian dan barangan peribadi.

“Sindiket turut menggunakan pelbagai modus operandi licik dan terancang termasuk menawarkan pekerjaan palsu, pakej percutian percuma serta ganjaran kewangan lumayan,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai khususnya rakyat Malaysia agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran mencurigakan.

Beliau turut mengingatkan bahawa penglibatan dalam aktiviti itu boleh membawa hukuman berat termasuk penjara seumur hidup atau hukuman mati di sesetengah negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN