KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat dikesan dalam kejadian kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini yang memusnahkan 27 buah rumah penduduk semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal setakat ini tidak menemukan sebarang petunjuk yang menunjukkan wujudnya unsur khianat atau perbuatan jenayah dalam kejadian itu.
“Siasatan lanjut masih diteruskan oleh pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kebakaran ini tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Mohd. Yusoff memberitahu, kebakaran 27 buah rumah separuh kayu dan separuh batu di kawasan seluas kira-kira 2.43 hektar melibatkan tahap kemusnahan yang berbeza-beza.
Katanya, berdasarkan keterangan saksi, asap dan api mula dikesan sekitar pukul 12 tengah hari sebelum merebak dengan pantas berikutan kedudukan rumah yang berhampiran antara satu sama lain.
“Pasukan JBPM yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.34 tengah hari dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Operasi mengawal serta memadamkan kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 5.30 petang,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu mengesahkan sebanyak 27 buah rumah milik penduduk di Kampung Cina, Gok Kapur di sini terbakar hari ini.
Komander Operasi Kanan BBP Kota Bharu Zazuki Shafei berkata, jumlah itu melibatkan 130 keluarga.-UTUSAN










