KOTA BHARU: Sindiket yang mendalangi empat kes kecurian kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini melibatkan kerugian RM200,000 berjaya ditumpaskan selepas polis menahan dua lelaki.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an ditahan bulan lalu bagi membantu siasatan.
Katanya, kesemua kecurian itu melibatkan jajaran laluan ECRL di Pasir Puteh.
“Pasir Puteh menjadi kawasan berisiko berlaku kercurian memandangkan laluan projek itu paling panjang di daerah berkenaan selain melalui kawasan pedalaman dan hutan.
“Setiap kecurian itu melibatkan kerugian kira-kira RM50,000. Siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai aktif sejak Februari lalu dengan mengambil peluang mencuri kabel ketika sistem elektrik di laluan projek mega itu belum diaktifkan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, keadaan itu memberi ruang kepada suspek bertindak kerana tiada risiko terkena renjatan elektrik selain lokasi kejadian yang kebanyakannya jauh dari penempatan awam.
Katanya, suspek turut menyasarkan komponen tembaga bernilai tinggi yang terdapat pada sistem berkenaan sebelum menjual hasil curian itu di premis barang lusuh sekitar negeri ini.
“Siasatan mendapati proses memotong dan menarik kabel itu hanya mengambil masa kira-kira sejam bagi setiap operasi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, beliau sudah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah di Pasir Puteh dan Kota Bharu dalam membendung kecurian kabel ECRL ini.
Katanya, polis turut meminta pihak pengurusan ECRL memperkukuh kawalan keselamatan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pengambilan pengawal keselamatan.-UTUSAN










