Sindiket Along sasar pelajar IPT, tawar pinjaman mudah syarat serah Apple ID - Utusan Malaysia

Sindiket Along sasar pelajar IPT, tawar pinjaman mudah syarat serah Apple ID

Sindiket Along
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan lagi motosikal atau barang kemas, sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen (Along) kini dikesan menggunakan taktik licik dengan menjadikan Apple ID mangsa sebagai cagaran untuk mendapatkan wang tunai segera.

Modus operandi yang menyasarkan pengguna media sosial seperti Facebook ini mula mencetuskan kebimbangan berikutan risiko kehilangan kawalan penuh terhadap peranti peribadi.

Ketua Unit Banteras Along Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain, Darul Muttaqim (DM), Adam Mustapa mendedahkan, pihaknya menerima hampir 50 aduan berkaitan taktik berkenaan sejak kebelakangan ini.

“Kebanyakan mangsa diminta untuk mengeluarkan Apple ID peribadi sebelum memasukkan identiti digital milik sindiket ke dalam telefon mereka sebagai syarat kelulusan pinjaman.

“Tanpa disedari, tindakan itu memberi akses penuh kepada Along terhadap maklumat sensitif termasuk gambar, lokasi semasa melalui fungsi ‘Find My iPhone’ serta senarai kenalan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Adam, sindiket akan bertindak mengunci iCloud mangsa dari jarak jauh sekiranya bayaran gagal menjelaskan hutang, sekali gus menyebabkan telefon pintar yang dibeli dengan harga ribuan ringgit tidak lagi boleh digunakan.

Lebih malang, data peribadi mangsa berisiko dieksploitasi bagi tujuan ugutan atau memalukan mangsa dengan menghubungi senarai kenalan sedia ada.

Golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dikenal pasti antara kumpulan paling mudah terjebak berikutan tekanan kewangan dan kurang pendedahan mengenai ancaman siber.

Antara kes yang diterima membabitkan seorang pelajar lelaki sebuah IPTA berusia 21 tahun yang menggunakan iPhone 14 Pro Max sebagai cagaran, serta seorang pelajar perempuan dari sebuah IPTS di Sarawak yang terpedaya dengan tawaran pinjaman mudah tersebut.

Susulan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman segera yang mengenakan syarat tidak munasabah sehingga menggadaikan privasi dan identiti digital sendiri.

Organisasi DM yang berpusat di Sentul, Kuala Lumpur kini giat membantu mangsa Along menguruskan pembayaran semula pinjaman mengikut jumlah asal, selain menyediakan bimbingan moral melalui kelas pengajian al-Quran dan Fardhu Ain secara percuma.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN