Tampuk pentadbiran kerajaan negeri Johor Darul Ta’zim sekali lagi bakal menjadi rebutan khususnya gabungan-gabungan parti politik utama tanah air iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan juga Perikatan Nasional (PN).
Keputusan itu akan diserahkan kepada seramai 2,717,495 pemilih yang layak mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 11 Julai ini.
Namun, teka teki kini berkisar soal siapakah calon Menteri Besar ataupun poster boy yang akan dipertaruhkan setiap parti bagi memenangi hati rakyat sekali gus mendapatkan mandat mereka untuk mentadbir negeri selatan tanah air ini.
Atas kertas, BN dilihat mendahului sebagai penyandang kerajaan negeri. Pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilihat berjaya merekodkan pelbagai pencapaian positif termasuklah menarik pelaburan sebanyak RM110 bilion sepanjang tahun lalu, tertinggi dalam sejarah Malaysia.
Bagaimanapun, ujian beliau terletak kepada kemampuan mengemudi jentera perang BN untuk sekurang-kurangnya menyamai rekod poster boy BN pada PRN lalu iaitu bekas Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad yang melakar kemenangan lebih dua pertiga dengan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi dipertandingkan.
Hal ini masih belum terbukti kerana walaupun rekod Onn Hafiz sebagai pemimpin kerajaan negeri boleh dikatakan cemerlang, namun beliau tidak dilihat sebagai pemimpin yang ‘garang’ berdebat atas pentas politik. Tetapi mungkin kelainan itu bakal memberi kelebihan buatnya.
Sementara itu, kem PH dilihat berada dalam persimpangan apabila masih gagal menamakan poster boy mereka sekali gus calon Menteri Besar yang mahu diketengahkan sekiranya menerima mandat majoriti rakyat Johor. Beberapa nama dikaitkan dengan jawatan tersebut namun tiada kepastian diberikan setakat ini.
Antara nama yang kerap disebut termasuklah bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. Turut dikaitkan ialah Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan merangkap Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor.
Manakala PN yang kini berada dalam dilema tersendiri, sama ada jenama itu milik Pas ataupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Parti itu dilihat tidak memikirkan langsung siapakah calon Menteri Besar mereka kerana penglibatan gabungan itu dalam PRN Johor sendiri masih dalam tanda tanya.-UTUSAN.










